top of page
  • Wartawan Nabalu News

RM35 juta untuk pembangunan pendidikan di Sabah



20 Jan 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM35 juta pada tahun ini untuk melaksanakan inisiatif pembangunan pendudukan merangkumi tiga program baharu di Sabah.


Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata program baharu itu ialah Bantuan Aktiviti PIBG Sabah (BAGUS), Bantuan Ikhsan Sekolah Sabah (BISBAH) dan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA) adalah selaras dengan komitmen kerajaan untuk memartabatkan taraf pendidikan Sabah.


Beliau berkata, sejumlah RM3 juta diperuntukkan untuk program BAGUS yang menyaksikan setiap Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di 1,500 sekolah menerima RM2,000 untuk menjalankan aktiviti masing-masing tahun ini.


“Manakala di bawah inisiatif BISBAH, sebanyak RM12 juta diperuntukkan untuk membantu 1,500 sekolah di seluruh negeri memperolehi komputer, mesin pencetak, peralatan bantuan mengajar, meja dan kerusi.


"Kerajaan negeri serius memastikan kanak-kanak di Sabah mendapat bantuan sebaik mungkin dan mencapai kecemerlangan akademik,” katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan BAKTI dan Pelancaran BAGUS, BISBAH dan AKSA 2022, di Menara Kinabalu, kelmarin.


Teks ucapannya disampaikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun.

Hajiji berkata, kerajaan juga akan memberi pengiktirafan khas kepada pelajar cemerlang di negeri ini yang cemerlang dalam akademik dikenali sebagai Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA).


Selain itu katanya, kerajaan negeri akan meneruskan bantuan lain termasuk Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Wang Pendaftaran IPT (BUDI) dan Bantuan Khas Tunai.

Comments


bottom of page