‘Rock With You’ membawa tuah kepada Michelle Lawrence

7 Oktober 2021
Oleh Marryan Razan
Lagu ‘Rock With You’ membawa tuah kepada Michelle Lawrence, 17, apabila dinobatkan sebagai johan pertandingan menyanyi melalui program 'Bakat Interact' anjuran Rotary Club Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Pelajar SMK St.Francis Convent Kota Kinabalu itu berkata, dia tidak menyangka memenangi pertandingan itu kerana para peserta lain mempunyai kehebatan tersendiri.
Katanya, dia mengikuti pertandingan itu sekadar ‘suka-suka’ dan untuk mencipta memori terakhir sebelum keluar dari sekolah menengah.

“Saya gembira dan tidak menjangka diumumkan sebagai pemenang sebab saya menyertai pertandingan ini sekadar suka-suka.
“Video yang saya hantar pun tidak memadai, jadi saya tidak menaruh harapan tinggi untuk menang.
“Tambahan pula, semua peserta lain mempunyai keunikan tersendiri dan semestinya saya berasa tercabar. Namun saya percaya saya dipilih sebab menepati cita rasa para juri,” katanya kepada Nabalu News.
Program ‘Bakat Interact’ itu dianjurkan Kota Kinabalu Rotary Club dilaksanakan secara maya buat pertama kalinya.
Tempat kedua dimenangi oleh Jasmine Renata Kumijan pelajar SM St.Francis Convent dan tempat ketiga Eiffel Paul Pailus dari KK High School.
Michelle yang bercita-cita menjadi pakar dalam bidang psikologi dan minat dalam bidang keusahawanan berkata, program ‘Bakat Interact' dianjurkan sejak bertahun-tahun lamanya menjadi medium pertemuan para pelajar sekolah untuk berkumpul dan menyokong antara satu sama lain.
“Selalunya, melalui pertandingan inilah kami dapat mengeratkan hubungan silaturahim dengan rakan-rakan dari sekolah lain.
“Program seumpama ini amat baik untuk menonjolkan bakat-bakat terpendam para pelajar,” katanya.
Comments