top of page
  • Wartawan Nabalu News

Rombakan Kabinet Sabah untuk kukuhkan kerajaan: Hajiji



11 Januari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, rombakan Kabinet adalah sesuatu yang perlu dan bertujuan mengukuhkan kerajaan negeri sekarang.


“Untuk itu, kami memerlukan satu pasukan yang kuat.


“Menyedari keperluan untuk membentuk satu pentadbiran inklusif, saya telah memasukkan ADUN dari Pakatan Harapan (PH) ke dalam Kabinet, sebagai tambahan di samping wakil dari UMNO/BN dan GRS.


“Adalah penting bagi Kerajaan Negeri di bawah pimpinan saya dapat berfungsi sebagai satu pasukan yang bersatu padu, dengan berkongsi aspirasi yang sama yang dibina atas kepercayaan dan saling menghormati,” katanya dalam kenyataan media hari ini.


Hajiji berkata, kerajaan negeri berazam untuk mempunyai pemimpin yang mempunyai iltizam yang sehaluan dan menghargai setiap keperluan bagi memastikan usaha membangunkan negeri berjalan lancar dan tanpa sebarang gangguan seperti yang diharapkan oleh rakyat.


“Kestabilan politik adalah penting untuk mencapai matlamat ini.


“Bersama satu pasukan yang kukuh, kami akan memastikan pelaburan dinamik kerajaan negeri dapat dikekalkan, seterusnya meningkatkan keyakinan pelabur di samping dapat menarik lebih ramai lagi untuk datang melabur ke Sabah.


“Kita perlu memastikan momentum pembangunan kita terus maju ke hadapan dan seterusnya dapat memenuhi janji-janji pilihan raya kita kepada rakyat dan negeri,” katanya.


Kommentare


bottom of page