Marryan Razan
Rudey cadang tubuh Persatuan MBM bantu mahasiswa Borneo

25 Oktober 2021
Oleh Marryan Razan
KOTA KINABALU: Persatuan Mahasiswa Borneo Malaysia (MBM) perlu diwujudkan bagi membantu dan menjaga kebajikan golongan mahasiswi Borneo (Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan) yang melanjutkan pengajian di Semenanjung Malaysia.
Wakil Kerusi Etnik Sabah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Rudey Asok berkata, penubuhan persatuan itu penting sebagai platform para pemimpin mahasiswa Borneo di seluruh negara membantu para pelajar yang memerlukan bantuan.
“Bila persatuan ini berjaya ditubuhkan kelak, ia akan menjadi satu platform pemimpin-pemimpin mahasiswa Borneo di seluruh Malaysia membantu dan menjaga kebajikan para pelajar yang memerlukan bantuan.
“Saya mengalu-alukan para pemimpin mahasiswa di seluruh Universiti awam atau swasta di Malaysia agar turut sama menyokong dan menjayakan persatuan ini kelak,” katanya kepada Nabalu News.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat secara dalam talian bersama para pemimpin mahasiswa di beberapa universiti antaranya UPSI Tanjung Malim, Perak, Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang Selangor, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Pengkalan Chepa, Kelantan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak dan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Kuala Kangsar, Perak.
Rudey berkata, mahasiswa Borneo seharusnya sentiasa berbincang berkaitan hala tuju dan nasib golongan mahasiswi sama ada yang melanjutkan pengajian di universiti awam atau swasta di seluruh Malaysia.
“Jalinan mahasiswa-mahasiswi Borneo di seluruh Malaysia perlu diperkukuhkan bagi memudahkan para pemimpin mahasiswa Borneo menjaga kebajikan mereka tanpa mengira kaum, agama dan bangsa,” katanya.
Sementara itu Pensyarah UPSI Dr. Mohd Fadhil Abdullah menyambut baik cadangan untuk menubuhkan Persatuan Mahasiswa Borneo.

“Semoga MBM, dapat dikembangkan lagi bukan sahaja di Malaysia tetapi di peringkat antarabangsa,” katanya.
Cadangan Rudey untuk menubuhkan Persatuan Mahasiswa Borneo Malaysia mendapat sokongan penuh daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan para pemimpin pelajar dari universiti-universiti awam.
MPP Etnik Cina UPSI (sidang 2020/2021) Rulvin Choo menyokong penuh pengwujudan persatuan itu bagi memudahkan urusan para pelajar Borneo dalam pelbagai aspek terutamanya dalam urusan penerbangan dari Borneo ke Semenanjung atau sebaliknya.
MPP Etnik Sarawak UPSI (sidang 2020/2021) Spencer Colin Anak Entie berkata dengan adanya MBM ini kelak, “maka kita dapat membantu mahasiswa-mahasiswi Borneo yang kurang bernasib baik agar mereka dapat melanjutkan pelajaran sebaiknya”.
Pelajar Master Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Muhammad Amirul Amin Mahmud turut bersetuju dan menyokong penuh usaha penubuhan MBA ini bagi membantu mahasiswa-mahasiswi Borneo Malaysia terutama mereka yang memerlukan bantuan.
Mohd Firdaus Muhammad Noh (MPP Universiti Putra Malaysia) sidang 2020/2021 berkata, usaha ini amat baik dalam membantu dan menjaga kebajikan mahasiswa-mahasiswi Borneo Malaysia.
Heri Hafizan Hassan dan Nurhamira Hamade pemimpin pelajar di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar, Perak berkata, ia satu nafas baharu dan membawa kesan positif kepada mahasiswa-mahasiswi Borneo Malaysia kelak.
Mohd Shahrul Nizam Madin (MPP Universiti Malaysia Kelantan) pula berpendapat persatuan ini akan memberi manfaat kepada mahasiwa-mahasiswi Borneo Malaysia pada masa akan datang.
“Melalui persatuan ini kebajikan mereka dapat dijaga dari masa ke semasa. Saya amat berharap agar usaha menubuhkan persatuan ini dapat direaliasikan,” katanya.