Rumah dua tingkat di Kg Luagan, Beaufort musnah dalam kebakaran

18 Disember 2024
BEAUFORT: Sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal di Kampung Luagan, belakang Sekolah Rendah, musnah sepenuhnya dalam kebakaran pagi tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Beaufort menerima panggilan kecemasan pada jam 9.16 pagi dan tiba di lokasi kejadian pada jam 9.31 pagi.
Menurut Komander Operasi Kanan, PPgB Mohammad Hasbullah Nenggok, kebakaran tersebut memusnahkan keseluruhan rumah berkeluasan 30 x 40 kaki persegi, termasuk tiga buah motosikal jenis Honda EX-5, Yamaha RXZ, dan Modenas.
Operasi pemadaman melibatkan 10 anggota bomba menggunakan satu aliran 100 kaki dengan dua pancutan sumber air dari longkang berhampiran.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.08 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.48 pagi.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden ini. Agensi lain seperti SESB dan PDRM turut membantu dalam operasi di lokasi kejadian.
Comments