Rumah pekerja 6 pintu musnah terbakar

25 Julai 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KINABATANGAN : Rumah pekerja enam pintu musnah dalam kebakaran di Ladang Sungai Hup Seng Segama, Kinabatangan, semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 8.49 pagi.
Katanya sepasukan enam anggota bersama jentera pemadam api (FRT) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak 190 kilometer dari balai bagi melakukan operasi pemadaman.
Operasi pemadaman turut dilakukan oleh pihak ladang sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi dengan menggunakan pili bomba berhampiran.
Kebakaran berjaya dikawal jam 12.50 tengahari dan ditamatkan sepenuhnya jam 1.00 petang.
Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Yorumlar