Marryan Razan
RUU Anti-lompat Parti, Had Tempoh Lantikan PM antara, 7 tawaran reform Ismail Sabri

10 Sept 2021 Oleh Marryan Razan KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Anti-lompat Parti dan Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri (PM) kepada 10 tahun antara tujuh tawaran transformasi Parlimen dan pentadbiran kerajaan. Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju dan komited untuk melaksanakan Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara. Beliau berkata, tawaran ini juga bertujuan mewujudkan lanskap politik baharu dengan melaksanakan transformasi dan pembaharuan dalam tatakelola pentadbiran kerajaan khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen. “Tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan meliputi: Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti, pelaksanaan Undi 18 dalam tempoh terdekat. Justeru, satu Rang Undang Undang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan. “Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun, Keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan Ahli Parlimen Kerajaan dan Ahli Parlimen Pembangkang, Setiap Rang Undang-Undang termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama. “Ahli parti pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan dan Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Ismail Sabri berkata, kerajaan berpandangan fokus dan keutamaan yang perlu diberikan oleh semua pihak pada ketika ini adalah terhadap kestabilan politik dan pentadbiran negara dalam memerangi COVID-19 serta pemulihan ekonomi. “Transformasi kerajaan ini memaktubkan nilai-nilai murni dan muafakat merentasi pelbagai latar agama, kaum, dan budaya dalam konteks Keluarga Malaysia. “Ini juga selaras dengan semangat untuk terus menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi yang menjadi teras kehidupan bermasyarakat dan bernegara,” katanya. Katanya lagi, pada masa yang sama, kerajaan komited untuk memperkenalkan lebih banyak transformasi dari semasa ke semasa.