- Wartawan Nabalu News
RUU Suruhanjaya Kanak-kanak bakal dibentangkan di Parlimen – Azalina

1 Ogos 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkatam, Rang Undang-undang (RUU) Suruhanjaya Kanak-kanak akan dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini.
Beliau berkata RUU itu bertujuan untuk mewujudkan sebuah suruhanjaya kanak-kanak yang bebas dan berkuasa untuk melindungi dan memelihara kebajikan serta kepentingan kira-kira 9.5 juta kanak-kanak di seluruh negara.
Azalina berkata kertas Kabinet mengenai RUU itu sudah disediakan dan akan dibawa ke Kabinet pada bulan ini atau awal bulan depan.
"Sebenarnya kertas Kabinet itu saya dah sediakan dan akan bawa pada Kabinet, Insya-Allah pada bulan ini atau awal bulan depan, dengan harapan kelulusan dari segi dasar dan rangka undang-undang itu dapat dibawa pada sesi Parlimen nanti," kepada pemberita selepas melawat Kompleks Mahkamah Seremban semalam.
Jelas beliau, berdasarkan kajian, sehingga hari ini 6,791 kes penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak telah dilaporkan, dengan Kelantan merekodkan kes paling tinggi sehingga 1,097 manakala kadar pelupusan kes secara menyeluruh ialah 72.6 peratus.
Dalam pada itu, beliau berkata pada masa ini pejabat pesuruhjaya kanak-kanak (OCC) berada di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), tetapi perlu dikeluarkan dan dijadikan bebas.
"Pada masa ini pejabat pesuruhjaya kanak-kanak (OCC) berada di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), tetapi kita perlu mengeluarkannya dan menjadikan ia benar-benar bebas, kerana SUHAKAM mengendalikan lebih banyak isu berkaitan hak asasi manusia, tetapi bagi aspek pesuruhjaya kanak-kanak, SUHAKAM perlu lihat melangkaui aspek hak asasi," katanya.
Beliau berkata hal berkaitan kanak-kanak bukan hanya kerja solo yang melibatkan satu kementerian semata-mata, tetapi seluruh ekosistem termasuk Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) serta masyarakat.
"OCC mesti bebas dan bukan sebuah agensi kerajaan, supaya ia juga boleh memantau dan memberikan bantuan kepada agensi kerajaan untuk menampilkan amalan terbaik buat kanak-kanak. Kita tidak boleh bersifat defensif apabila melibatkan hak kanak-kanak. Anak-anak kita adalah masa depan negara. Kita mesti sediakan perlindungan penuh kepada mereka," katanya.