top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sabah bakal bina kemudahan pelancaran angkasa lepas, jika hasil kajian positif


Arifin (tengah) menyaksikan penyerahan surat niat oleh Zainuddin kepada wakil Sovereign Segalang Sdn Bhd, Ezra (kanan).

15 Februari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, Datuk Dr. Arifin Mohd Arif, berkata Sabah bakal mencipta sejarah dengan pembinaan kemudahan pelancaran angkasa lepas.


Jelas beliau, pihaknya telah melantik Syarikat Sovereign Sengalang Sdn. Bhd. untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan dan mengkaji kesesuaian pembinaan Sabah International Space Launch Industrial Centre (SLIC).


“Apabila kajian itu memberikan indikasi positif, Sabah akan membina "Space Launching Facility" yang ke-16 di dunia dan bakal meletakkan nama Malaysia sebagai negara ke sembilan yang memiliki fasiliti sedemikian.


“Langkah ini akan melonjakkan Sabah menjadi negeri terdepan dalam pemindahan ilmu dan teknologi angkasa,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam Majlis Amanat Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi di Kota Kinabalu pada Selasa.


Tambah Arifin, kementeriannya akan menubuhkan Sabah Space Industrial Corporation untuk bekerjasama rapat dengan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dalam membangunkan sektor aeroangkasa di negeri ini.


SLIC juga akan memacu pertumbuhan 300 hingga 500 syarikat hiliran dalam industri aeroangkasa, memberi limpahan dan kemakmuran ekonomi di Sabah dengan membuka lebih 90 peluang pekerjaan bergaji tinggi dan lebih kurang 5,000 peluang pekerjaan secara keseluruhan.


Sementara itu, beliau berkata cadangan tersebut telah dibentangkan dan mendapat persetujuan Kabinet Negeri bagi membuat kajian kebolehlaksanaan.


Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pembantu Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Harun Durabi dan Setiausaha Tetap KSTI, Datuk Zainudin Aman.

Comments


bottom of page