top of page

Sabah berjaya hapus miskin tegar akhir Julai lalu - Hajiji

nabalunews

13 Ogos 2024


KOTA MARUDU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, hari ini mengumumkan kejayaan usaha kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini, berjaya dicapai akhir Julai lalu.


Katanya, kejayaan itu adalah hasil komitmen semua pihak di negeri ini selaras aspirasi Kerajaan Madani dan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 (2021-2025).


"Saya mengumumkan bahawa kita sudah berjaya menghapuskan miskin tegar di negeri ini pada 31 Julai lalu," katanya seperti dilaporkan Berita Harian.


Hajiji berkata demikian pada pelancaran projek penanaman padi di Kampung Ongkilan, di sini, hari ini.


Ia adalah projek perintis penanaman padi seluas 100 hektar dengan kerjasama Sawit Kinabalu dan Jabatan Pertanian Sabah di tapak tanah milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah itu.


Hajiji berkata, kerjasama GLC seperti Sawit Kinabalu adalah antara yang membantu usaha kerajaan menghapuskan miskin tegar di negeri ini.


"Saya berharap GLC di negeri ini akan terus menyediakan peluang pekerjaan kepada belia kita.


"Ini sudah tentu membantu usaha kerajaan negeri melalui Sekretariat SMJ dan Pejabat Pembangunan Sabah untuk menoktahkan miskin tegar," katanya.


Pada 31 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa masalah miskin tegar di Sabah akan diselesaikan sebelum akhir Julai tahun ini menerusi usaha yang dilaksanakan hasil kerjasama erat Kerajaan Persekutuan dan negeri.


Katanya, ia berdasarkan penurunan besar jumlah keluarga miskin tegar di Sabah kepada 9,000 keluarga pada Mei lalu berbanding 20,000 keluarga dalam data sebelum itu.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page