- Wartawan Nabalu News
Sabah catat 106 kes baharu hari ini, terendah sejak beberapa bulan

9 April 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan 106 kes positif baharu hari ini menurun sebanyak 66 kes berbanding semalam dan merupakan antara angka yang terendah sejak beberapa bulan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, secara keseluruhannya keadaan di Sabah semakin bertambah baik.
“Hari ini cuma tiga daerah mencatatkan jangkitan baharu dua angka iaitu Kota Kinabalu 24 (-33), Penampang 19 (+7) dan Papar 10 (tidak berubah).
“Selain Penampang, hanya dua daerah lain iaitu Putatan dan Kinabatangan merekodkan pertambahan kes baharu. Sebanyak 17 daerah lain mencatat kes jangkitan baharu satu angka di mana tujuh daripadanya merekodkan satu kes,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Masidi berkata, tujuh lagi daerah tidak mencatat sebarang kes baharu dalam tempoh 24 jam yang lalu.
Katanya, seramai 105 orang (99 peratus) daripada 106 pesakit baharu hari ini adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2. Tidak ada pesakit dalam Kategori 3 dan Kategori 4, manakala hanya seorang pesakit dalam Kategori 5.
Mengenai bilangan pesakit Covid-19 sembuh, hari ini sermai 201 orang sembuh termasuk yang discaj dari hospital/PKRC menjadikan jumlah kumulatif 353,869 orang.
“Manakala 252 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 244 orang di hospital, lapan orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).
“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 24 orang merangkumi 22 di ICU/repurposed kritikal care serta dua di open ward (HDW/kubikel akut) dan lapan orang lagi memerlukan alat bantuan Pernafasan,” katanya.