SABAH CATAT 203 KES POSITIF BAHARU COVID, SATU KEMATIAN
- Wartawan Nabalu News
- Jun 24, 2021
- 1 min read

24 Jun 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan sebanyak 203 kes positif baharu Covid-19 hari ini iaitu meningkat 74 kes berbanding kelmarin menjadikan jumlah kumulatif 68,232 kes dan satu kes kematian direkodkan di Kota Kinabalu.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, daripada 203 kes jangkitan baharu hari ini, 112 kes adalah hasil saringan kontak rapat, 68 kes daripada saringan kluster, 10 kes saringan bergejala dan 13 kes adalah daripada lain-lain kes.
"Sandakan mencatatkan kes baharu tertinggi pada hari ini iaitu sebanyak 31 kes, diikuti Kinabatangan (29 kes), Kota Kinabalu (25 kes), Kalabakan (24 kes), Penampang (19 kes), Tawau (18 kes), Beaufort (17 kes), Lahad Datu (10 kes) dan Kota Marudu (lapan kes).
"Manakala Tuaran merekodkan empat kes, Kudat, Semporna, Keningau, dan Putatan masing-masing dengan dua kes serta satu kes direkodkan di Papar, Telupid dan Ranau," katanya dalam kenyataan akhbar di sini, hari ini.
Sebanyak sembilan daerah mencatatkan sifar kes iaitu Beluran, Kunak, Tongod, Pitas, Kuala Penyu, Sipitang, Tenom, Nabawan dan Tambunan.
"Terdapat trend perubahan angka jangkitan baharu harian yang tidak statik serta jumlah catatan sebanyak 112 kes daripada Saringan Kontak Rapat, maka dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan SOP yang telah digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak Kerajaan.
Berkenaan jumlah kes sembuh Masidi berkata, seramai 220 pesakit Covid-19 telah sembuh atau discaj dari hospital menjadikan jumlah kumulatif 66,115 orang.
“Seramai 1,399 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 442 orang di hospital, 946 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam manakala dua orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara.
“Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 72 orang dan 20 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.
Comments