SABAH CATAT 232 KES POSITIF BAHARU COVID, LIMA KES KEMATIAN
1 Julai 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Sebanyak 232 kes positif baharu Covid-19 dicatatkan di Sabah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 69,677 kes dan lima kes kematian direkodkan iaitu dua kes di Kota Kinabalu dan tiga kes di Kudat.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, daripada 232 kes jangkitan baharu hari ini, 131 kes adalah hasil saringan kontak rapat, 29 kes daripada saringan kluster, 16 kes saringan bergejala, 24 kes bersasar dan 32 kes adalah daripada lain-lain kes.
“Tawau mencatatkan kes tertinggi sebanyak 36 kes, diikuti Kudat sebanyak 34 kes, Sandakan (27 kes), Kota Kinabalu (25 kes), Pitas dan Putatan masing-masing 16 kes, Semporna (14 kes), Papar (12 kes), Kota Belud (11 kes).
“Lahad Datu (sembilan kes), Kunak, Beaufort dan Tambunan masing-masing lapan kes, Keningau (tiga kes), Kalabakan dan Kota Marudu masing-masing dua kes dan Tuaran,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata, sebanyak 10 daerah mencatatkan sifar kes iaitu Beluran, Telupid, Kinabatangan, Tongod, Ranau, Penampang, Kuala Penyu, Sipitang, Tenom dan Nabawan.
Katanya, setakat ini hanya satu daerah Zon Hijau iaitu Beluran.
Beliau berkata, jumlah pesakit Covid-19 discaj dari hospital / sembuh 188 menjadikan jumlah kumulatif 67,444 orang.
“Seramai 1,528 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 405 orang di hospital, 1008 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam manakala 115 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara.
“Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 68 orang dan 17 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.
Commentaires