- Wartawan Nabalu News
SABAH CATAT 254 KES BAHARU POSITIF COVID-19, HARI INI
2 Jun 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Jumlah kes baharu positif Covid-19 di Sabah mencatatkan penurunan sebanyak 64 kes iaitu daripada 318 kes kelmarin (1 Jun) kepada 254 kes (2 Jun).
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, dua kes kematian turut direkodkan hari ini masing-masing di Kota Kinabalu dan Kinabatangan.
"Sebanyak 213 jumlah pesakit sembuh pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif 60,165 orang. Mankala 1,604 orang pesakit lagi sedang menerima rawatan iaitu 451 orang di hospital, 1,151 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara dua orang," katanya dalam kenyataan akhbar di sini, hari ini.
Masidi berkata, daripada 254 kes jangkitan baharu hari ini, 184 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 20 kes saringan kluster, 36 kes saringan bergejala, enam kes daripada saringan bersasar dan lapan kes daripada lain-lain kes.
“Terdapat 12 daerah di negeri ini mencatatkan penurunan kes. Sembilan daerah mencapai penurunan kes dengan julat satu angka manakala tiga daerah lagi menunjukkan penurunan pada julat dua angka iaitu Tawau (-44), Lahad Datu (-21) dan Tuaran (-18).
“Bagaimanapun 11 daerah mencatatkan peningkatan kes hari ini dengan lapan daerah mencatatkan peningkatan kes pada julat satu angka, manakala tiga lagi daerah lain mencatatkan peningkatan kes pada julat dua angka iaitu Sandakan 29 kes (+24), Kota Kinabalu 31 kes (+14) dan Kunak 40 kes (+11).
"Daerah Beaufort kekal catatan kes baharu sebagaimana hari kelmarin iaitu dengan enam (6) kes,” katanya.
Masidi berkata, hari ini, tujuh daerah mencatatkan sifar kes iaitu Beluran, Tongod, Pitas, Ranau, Kuala Penyu, Sipitang dan Nabawan.
Katanya, perubahan kes bagi setiap daerah adalah tidak statik. Sungguhpun tujuh daerah mencatat sifar kes pada hari ini, bilangan daerah yang berzon hijau berkurangan kepada tiga, menandakan terdapat kebarangkalian berlakunya ketidakpatuhan SOP yang telah digariskan.
Commentaires