top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sabah catat 65 kes baharu, terendah sejak hampir setahun lalu



11 April 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan 65 kes baharu positif Covid-19, angka terendah sejak 18 Mei 2021 dan penurunan sebanyak 59 kes berbanding semalam. Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, dua faktor menyumbang kepada penurunan jumlah kes di Sabah hari ini iaitu penurunan kes baharu dalam jumlah yang agak besar di beberapa daerah dan kenaikan kecil atau marginal di daerah-daerah yang merekodkan pertambahan kes baharu. “Antara daerah yang merekodkan penurunan kes baharu yang agak besar ialah Kota Kinabalu (-17), Penampang (-12), Putatan (-8), Beaufort (-8) dan Tuaran (-6). “Walaupun sembilan daerah mencatatkan pertambahan kes baharu tetapi enam daripadanya hanya merekodkan pertambahan satu kes berbanding sebelumnya. “Kota Kinabalu satu-satunya daerah yang mencatat kes baharu dua angka hari ini. Sebanyak 16 daerah mencatatkan kes satu angka sahaja dan 13 daripada daerah tersebut hanya mencatat kes baharu antara satu hingga empat kes,” katanya dalam kenyataan media hari ini. Masidi berkata, tidak kes jangkitan baharu di 10 daerah. “Sebagai satu peringatan, walaupun kes harian di Sabah menurun dengan banyak tetapi peratusan jangkitan sporadik kekal tinggi pada 55.4 peratus,” katanya. Beliau berkata, seramai 59 orang daripada 65 pesakit baharu hari ini adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2, dan masing-masing dua orang pesakit dalam Kategori 3, Kategori 4 dan Kategori 5.

bottom of page