- Wartawan Nabalu News
SABAH CATAT 666 KES COVID-19 HARI INI, KEBANYAKAN KES BANDUAN

18 Julai 2021 Oleh Wartawan Nabalu News KOTA KINABALU: Jumlah kes positif baharu Covid-19 di Sabah pada hari ini adalah yang tertinggi setakat ini dengan 666 kes, majoritinya merupkan kes banduan.
Dua kes kematian turut dilaporkan hari ini iaitu di Lahad Datu dan Beaufort. Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, daripada jumlah itu 449 kes adalah daripada saringan kluster, saringan kontak rapat (129 kes), saringan bersasar (32 kes), saringan bergejala (48 kes) dan lain-lain saringan sebanyak lapan kes. “Daerah Kota Kinabalu dan Tawau mencatatkan kes tertinggi dengan jumlah kes baharu sebanyak 278 kes dan 145 kes pada hari ini. "Hari ini juga boleh dipanggil “Hari Penjara” kerana 50.3% daripada kes di Sabah datang daripada dua penjara. "Kluster Tembok Kota Kinabalu iaitu di Penjara Kepayan merekodkan 211 kes daripada 278 kes di Kota Kinabalu (76%). Manakala Kluster Tembok Tawau Dua di Penjara Tawau merekodkan 124 kes daripada 145 kes yang dilaporkan di Tawau (85.5%), " katanya dalam kenyataan media hari ini. Secara keseluruhan 449 kes (67.4%) daripada 666 kes berlaku di kluster-kluster sedia ada yang sudah pun diletakkan di bawah perintah PKPD. Masidi berkata, dari segi jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh, pada hari ini 275 kes sembuh menjadikan jumlah kumulatif 71,232 orang. “Seramai 3,058 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 462 orang di hospital, 1,815 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam manakala 781 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara. “Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 56 orang dan sembilan orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.