Sabah Electricity hargai peranan media laporkan pembangunan bekalan elektrik
- nabalunews
- Dec 11, 2024
- 1 min read

11 Disember 2024
KOTA KINABALU: Sabah Electricity menghargai peranan media yang menjadi penyalur maklumat antara syarikat utiliti itu dengan masyarakat luar bandar menerusi liputan berkaitan isu-isu pembangunan bekalan elektrik yang relevan dan konsisten sepanjang tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Mohd Yaakob Jaafar berkata, menerusi media massa, pemikiran masyarakat dapat diubah selain menjadi penentu kepada pembangunan atau kejatuhan sesebuah negara berdasarkan ketajaman penulisan.
“Sabah Electricity tidak lari daripada cemuhan dan kritikan yang sering dilemparkan oleh pihak umum dan dalam berhadapan dengan cabaran-cabaran ini, kami melihat pentingnya untuk membina jalinan yang kukuh bersama pihak media.
“Saya percaya dengan adanya hubungan yang baik ini akan membantu dalam pelaporan inisiatif-inisiatif Sabah Electricity untuk membantu membangunkan bekalan elektrik yang menyeluruh dan komprehensif di Sabah,” katanya.
Mohd Yaakob berkata demikian di majlis makan amal bersama media di Dewan Persidangan Wisma SESB di sini, pada Rabu.
Teks ucapan beliau dibacakan Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Sabah Electricity, Mohd Yusmanizam Mohd Yusof.
“Majlis ini juga adalah sebagai tanda penghargaan kepada pihak media yang sentiasa memberikan sokongan padu tanpa jemu terutamanya mengenai program dan isu berkaitan inisiatif serta usaha dalam memacu pembangunan
di Sabah dan Labuan," katanya.
Ini kerana Sabah Electricity bukan sekadar membekalkan tenaga elektrik, tetapi juga memperkasakan kehidupan masyarakat dan membolehkan pertumbuhan ekonomi, komuniti dan masa depan Sabah
Beliau berharap Sabah Electricity dan media terus menjadi rakan kongsi demi manfaat semua pihak.
“Media bukan sekadar berperanan menyampaikan maklumat tetapi melalu liputan media yang meluas, inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh Sabah Electricity dapat menarik perhatian dan penglibatan masyarakat," katanya.
Pada majlis itu, Sabah Electricity menyampaikan sumbangan kepada lima rakan wartawan yang memerlukan sebagai salah satu Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Comments