- Wartawan Nabalu News
Sabah giatkan usaha guna pokok natif Borneo dalam landskap

12 Mei 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah berusaha untuk mengangkat dan menggunakan spesies pokok natif Borneo dalam pembangunan landskap negeri ini.
Ini adalah sejajar dengan agenda negeri untuk menjaga keseimbangan ekologi dan ekosistem serta menyedia habitat yang kaya dengan biodiversiti dan kehidupan biologi di Sabah.
Sebagai sebahagian daripada usaha ini, KKTP bersama Majlis Daerah Tuaran telah menganjurkan Bengkel Koleksi Pokok Natif Borneo di Sabah di Sutera Harbour Marina Golf & Country Club pada hari Khamis.
Bengkel ini melibatkan kumpulan profesional daripada bidang Arkitek Landskap, Arborist, Ahli Botani dan pegawai penyelidik agensi kerajaan serta akademik.
Menurut Ketua Penolong Setiausaha (Landskap) KKTP, LAr. Nurulhayati Awang More, bengkel ini bertujuan untuk membincangkan kesesuaian dan pemilihan spesies pokok natif Borneo serta pemakaiannya dalam pembangunan landskap.
Pemilihan spesies pokok dalam pembangunan landskap negeri Sabah adalah relevan bagi menjaga kepentingan bersama di samping mencapai matlamat dan agenda negeri yang telah digariskan.
Tambah beliau, aspek kesesuaian karakter dan kesihatan pokok serta keselamatan orang awam juga diambil kira dalam bengkel tersebut.
Beliau berharap bengkel ini dapat memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat dalam pembangunan landskap di Sabah dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pokok natif Borneo.