- nabalunews
Sabah harap RUU Ordinan Buruh Sabah dapat sokongan sebulat suara di Parlimen Oktober depan
5 September, 2024
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah berharap pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Ordinan Buruh Sabah yang bakal dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Parlimen Oktober depan, mendapat sokongan sebulat suara semua Ahli Parlimen.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata beliau amat yakin pindaan Ordinan Buruh Sabah Bab 67 akan memberi manfaat besar kepada majikan dan pekerja di Sabah dalam konteks
panduan yang lebih terperinci dan teratur untuk semua pihak.
Ini seterusnya dapat meningkatkan hubungan industri yang lebih harmoni dan kondusif, katanya.
RUU Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024 itu sudah dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Sumber Manusia di persidangan Dewan Rakyat pada 17 Julai lalu.
Hajiji berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Memerangi Jenayah Pemerdagangan Orang dan Buruh Paksa 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Hajiji berkata, kerajaan negeri Sabah sudah memberi persetujuan dan sokongan sepenuhnya terhadap pindaan RUU itu kerana satu daripada 16 perkara pindaan adalah berkaitan isu hak asasi manusia dan hak buruh.
Pindaan itu juga memperuntukkan hukuman kepada majikan atau mana-mana pihak yang mengamalkan pemerdagangan orang, buruh paksa dan buruh kanak-kanak dan ini selaras dengan peranan kerajaan meratifikasi Protokol 29 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Ia sebagai bukti komitmen kerajaan menghapuskan buruh paksa di negara ini.
Hajiji berkata jenayah pemerdagangan orang dan buruh paksa perlu ditangani dengan bijak mengikut dasar dan perundangan sedia ada agar dapat dibanteras.
Sekaligus tidak lagi menjadi isu di peringkat negeri dan antarabangsa.
Usaha itu memerlukan kerjasama kukuh dan koordinasi antara agensi kerajaan negeri dan Persekutuan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkuasa tempatan.
Menurut Hajiji, kedudukan Sabah yang berhampiran dengan beberapa negara termasuk Indonesia dan Filipina menjadikan perjalanan merentas sempadan menjadi.lebih mudah.
Ini menjadikan Sabah terdedah kepada aktiviti migrasi rentas sempadan, pemerdagangan orang dan buruh paksa, katanya.
Hajiji berkata beliau mahu semua majikan sentiasa memastikan amalan baik industri dilaksana dan meningkatkan piawaian perburuhan seperti yang termaktub dalam dasar dan perundangan negara.
Beliau juga berharap kira-kira 178,000 majikan di negeri ini sama-sama mengambil bahagian menandatangani ikrar dan akujanji memerangi jenayah pemerdagangan orang dan buruh paksa.
Comments