top of page
nabalunews

SABAH KEMBALI CATAT PENINGKATAN KES BAHARU COVID LEBIH 300 KES HARI INI



6 Jun 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan peningkatan kes baharu Covid-19 sebanyak 46 kes iaitu daripada 259 kes kelmarin (5 Jun) kepada 305 kes (6 Jun) hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 63,870 kes.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, daripada 305 kes jangkitan baharu hari ini, 178 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 64 kes adalah daripada saringan kluster, 34 kes adalah daripada saringan bergejala, empat kes daripada saringan bersasar dan 25 kes adalah daripada lain-lain kes.


“Berdasarkan pecahan kes pada hari ini, 11 daerah mencatatkan peningkatan kes. Tujuh daerah mencatatkan peningkatan kes pada julat satu angka, manakala empat lagi daerah lain mencatatkan peningkatan kes pada julat dua angka iaitu Kudat 37 kes (+30), Kinabatangan 23 kes (+23), Kota Kinabalu 41 kes (+21) dan Tawau 72 kes (+14).


“Walau bagaimanapun, 12 daerah mencatatkan penurunan kes. Sembilan daerah mencapai penurunan kes dengan julat satu angka manakala tiga daerah lagi menunjukkan penurunan pada julat dua angka iaitu Kota Marudu (-13), Sandakan (-12), dan Kunak (-12)," katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata, lapan daerah mencatatkan sifar kes iaitu Beluran, Telupid, Tongod, Kota Marudu, Ranau, Sipitang, Tenom dan Tambunan.


“Perubahan angka untuk keseluruhan daerah-daerah di Sabah adalah tidak statik kecuali daerah yang mengekalkan status Zon Hijau.


"Daerah Kudat, Kinabatangan, Kota Kinabalu dan Tawau secara kumulatif menyumbang kepada 173 kes dengan pertambahan sebanyak 88 kes berbanding kelmarin. Peningkatan ini menandakan kebarangkalian berlakunya aktiviti ketidakpatuhan SOP adalah sangat tinggi.


Beliau menggesa orang ramai untuk kekal berada di rumah dan bagi mereka yang bekerja, hadkan pergerakan kerana kebergantungan penurunan kes atau jangkitan baharu adalah sangat dipengaruhi oleh sejauh mana komuniti mematuhi SOP Kendiri dan SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.


Mengenai jumlah pesakit sembuh, beliau berkata, hari ini sebanyak 208 jumlah pesakit sembuh menjadikan jumlah kumulatif 61,015 orang.


“Manakala 1,681 orang pesakit lagi sedang menerima rawatan iaitu 500 orang di hospital, dan 1,181 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam," katanya.

Comments


bottom of page