top of page

Sabah masih perlu kerjasama parti nasional, belum dapat macam Sarawak, kata Hajiji

  • nabalunews
  • Sep 21, 2024
  • 2 min read

21 September 2024


SIPITANG: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata Sabah belum dapat mencontohi Sarawak bagi membentuk kerjasama politik yang hanya membabitkan parti tempatan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.


Katanya, Sabah masih memerlukan kerjasama di antara parti tempatan melalui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan rakan parti nasional yang lain.


Hajiji berkata gabungan kerjasama GRS – Pakatan Harapan (PH) Plus yang membentuk kerajaan negeri ketika ini adalah susunan yang sudah sedia ada untuk Sabah dan ia akan dikekalkan pada PRN nanti.


“Dalam politik kita mesti kerjasama dengan rakan kita dan inilah kita dalam GRS sekarang, kita mesti satu hati. Kita juga mesti bekerjasama dengan parti nasional yang sudah ada di Sabah sekarang.


“Inilah persediaan kita di Sabah, kita belum dapat macam Sarawak. Suka atau tidak, inilah keadaan kita di Sabah. Apa yang penting ialah kita kukuhkan perpaduan di kalangan kita dalam GRS dengan rakan PH dan lain-lain.


“Kalau kita bekerjasama, tiada sabotaj sana sini, tolong-menolong antara satu sama lain, saya yakin kita boleh menang dengan mudah pada PRN nanti,” katanya.


Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sindumin, di sini, hari ini.


Turut hadir Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sindumin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob.


Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat turut mengingatkan ahli parti itu, termasuk di Sindumin supaya memastikan Gagasan Rakyat terus diperkukuhkan, selain menjaga kerjasama dengan rakan dalam GRS dan parti nasional.


“Kuatkan perpaduan di antara kita, mantapkan juga kerjasama dengan rakan dalam GRS dan PH Plus. Kita perlu saling membantu antara satu sama lain untuk memastikan kemenangan di Sindumin dan semua kawasan lain pada PRN nanti,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page