top of page
  • nabalunews

SABAH PERUNTUK RM9 JUTA UNTUK PROJEK TEBATAN BANJIR KINARUT


8 Feb 2021


PAPAR: Kerajaan negeri Sabah meluluskan peruntukan berjumlah RM9 juta untuk Projek Skim Tebatan Sungai Kinarut bagi menangani masalah banjir di kawasan berkenaan yang berlarutan sejak sekian lama.


Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata projek itu dijangka bermula April ini, melibatkan kerja-kerja mendalamkan dan membesarkan Sungai Kinarut membabitkan jarak sejauh tiga kilometer.


"Kita jangkakan projek ini dapat disiapkan dalam tempoh dua tahun agar masalah banjir di sekitar kawasan itu dapat diatasi sepenuhnya," katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan sungai berkenaan di sini hari ini.


Hajiji berkata sebelum ini, setiap kali musim hujan sungai berkenaan akan melimpah menyebabkan banjir sedalam satu meter di kawasan berhampiran terutamanya Pekan Kinarut.


Sementara itu, Hajiji berkata hingga semalam, kerajaan Sabah sudah membuat pembayaran berjumlah lebih RM13.81 juta di bawah Bantuan Sabah Prihatin COVID-19 2.0 kepada 46,046 penerima bantuan tunai secara sekali bayar sebanyak RM300.


“Bantuan berkenaan melibatkan peruntukan berjumlah lebih RM97 juta untuk 323,334 penerima yang terkesan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan COVID-19 di negeri ini. Pembayaran itu dibuat sejak 29 Jan lalu," katanya.


Hajiji berkata kerajaan negeri juga sedar pelaksanaan PKP 2.0 menyebabkan ramai rakyat terjejas termasuk hilang pekerjaan, justeru mereka yang tidak tersenarai sebagai penerima bantuan itu boleh mengemukakan rayuan.


"...rayuan boleh dikemukakan melalui pejabat daerah masing-masing atau menerusi kementerian atau agensi yang menguruskan bantuan berkenaan," tambahnya. - Bernama


Comments


bottom of page