Sabah, Sarawak bakal manfaat daripada pembangunan Nusantara – Masidi
- Wartawan Nabalu News
- Jun 17, 2023
- 2 min read

17 Jun 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Sabah dan Sarawak berpotensi menjadi "lombong emas" yang menawarkan peluang perniagaan dan pembangunan yang pesat di kawasan Borneo, berikutan pemindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan Timur, kata Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.
Beliau berkata, kedua-dua negeri ini mempunyai kelebihan daya saing dan lokasi strategik yang boleh menarik pelabur dan usahawan dari Indonesia dan negara-negara lain.
Tambah Masidi, pemindahan ibu kota Indonesia akan memberi kesan positif kepada Sabah dan Sarawak.
“Pemindahan ini bakal menjadikan kedudukan Sabah dan Sarawak yang terletak di kepulauan Borneo lebih strategik untuk dibangunkan sebagai kawasan pertumbuhan ekonomi baharu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program BizTalk sempena sambutan Kaamatan-Gawai Bersama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (KCCI) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) ke-14 di Sutera Pacific. Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Julita Majungki.
Program ini bertujuan untuk mewujudkan jaringan perniagaan antara komuniti pribumi di Sabah dan Sarawak serta meningkatkan kemahiran dan pengetahuan usahawan tempatan.
Jelas beliau, kerajaan negeri sedar akan pentingnya sumbangan bidang keusahawanan dalam pembangunan ekonomi terutamanya usahawan dan peniaga yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Oleh itu, pelbagai program dan bantuan telah diadakan agensi, jabatan dan kementeriaan dari Kerjaaan Persekutuan ataupun Negeri dalam membantu usahawan yang terjejas.
“SEDCO dan MARA misalnya mempunyai pelbagai bantuan dan program dalam membantu komuniti peniaga bumiputera, begitu juga kemudahan-kemudahan kewangan dengan pelbagai skim yang ditawarkan oleh badan-badan kewangan dan bank.
“Selain dari Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), kementerian-kementerian lain juga menyediakan bantuan dalam usaha membangunkan semula usahawan dan peniaga terutamanya untuk golongan bumiputera,” ujarnya.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga telah menarik pelaburan bernilai RM2 bilion dalam sektor pembuatan panel solar di KKIP dan kilang pemprosesan pasir silika di Sikuati Kudat, yang akan menyediakan pekerjaan dan kontrak kepada penduduk tempatan.
Selain itu, beliau berkata, kerajaan negeri juga telah menubuhkan syarikat minyak dan gas milik penuh kerajaan negeri iaitu SMJ Petroleum Sdn Bhd, yang akan mengawal industri minyak dan gas di Sabah serta menawarkan peluang perniagaan kepada kontraktor tempatan.
"Kita mahu lebih ramai usahawan terlibat dalam industri minyak dan gas tetapi kita juga mahu mereka mempersiapkan diri dengan kemahiran dan kepakaran yang diperlukan. Kita telah menyasarkan untuk memperoleh RM1 bilion anugerah kontrak tempatan atau 20 peratus daripada jumlah kontrak minyak dan gas yang diberikan pada tahun ini dan menetapkan sasaran 30 peratus untuk tahun hadapan," katanya.
Beliau juga berkongsi lima perkara penting yang telah dipelajari daripada pandemik Covid-19 dalam menguruskan perniagaan, iaitu sentiasa bersedia untuk perkara-perkara yang tidak dijangka, membina rangkaian keselamatan kewangan, bersedia untuk berubah mengikut keperluan pasaran, melindungi data dan maklumat syarikat serta kekal tenang, fokus dan berdisiplin.
Comments