top of page
nabalunews

Sabah, Sarawak perlu sedia ambil peluang limpahan pembukaan Ibu Kota Nusantara



5 Ogos 2024


KUCHING : Sabah dan Sarawak perlu bersedia untuk mengambil ruang serta peluang yang wujud susulan limpahan ekonomi daripada pembangunan Ibu Kota Nusantara, Indonesia menerusi jalinan utuh hubungan bilateral Malaysia-Indonesia.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pembangunan ibu kota negara Indonesia itu pasti akan menarik lebih ramai penduduk sekaligus menlonjakkan aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan.


“Di Sarawak dan di Sabah khususnya kena tingkatkan segala kemudahan sebab sudah pasti sekarang ini sudah ramai yang datang pelancong- pelancong dari sebelah sana datang sama ada untuk melancong untuk tujuan kesihatan, hiburan bahkan pendidikan.


“Keadaan ini, kalau kita wujudkan ruang ini sudah pasti ianya akan dapat mendapat limpahan daripada apa sahaja yang datang daripada sebelah sana (Indonesia),” katanya seperti dilaporkan Buletin TV3.


Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melancarkan bulan kebangsaan dan kibar jalur gemilang peringkat Sarawak 2024 di Pusat Konvensyen CIDB, Petra Jaya, Kuching.


Tambah Fadillah, satu pertemuan bersama wakil kerajaan Sabah dan Sarawak serta agensi pelaksana akan dilakukan bagi mendapatkan perincian berkaitan projek menaik taraf fasiliti keselamatan sempadan negara sebelah Kalimantan.


Pertemuan itu susulan peruntukan satu bilion ringgit yang dikhaskan untuk penambahbaikan kompleks kastam, imigresen, kuarantin dan keselamatan (CIQS) serta prasarana di pintu sempadan masih belum dipohon sepenuhnya oleh kementerian-kementerian yang terlibat.


Jelasnya, usaha menaik taraf kompleks tersebut penting sebagai persediaan Sabah dan Sarawak dengan pembukaan ibu kota baharu Indonesia di Nusantara.


Ia selepas Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) memulakan tugas rasminya di Nusantara, Kalimantan Timur pada Ahad lalu selain turut menamakan pejabat presiden sebagai Istana Garuda, manakala kediaman rasmi presiden sebagai Istana Negara.

Comments


bottom of page