SABAH SEDIA 195 PUSAT AGIHAN VAKSIN COVID-19SABAH SEDIA 195 PUSAT AGIHAN VAKSIN COVID-19
top of page
  • nabalunews

SABAH SEDIA 195 PUSAT AGIHAN VAKSIN COVID-19


Gambar hiasan

5 Mac 2021


KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyediakan 195 pusat pengagihan vaksin termasuk di kawasan pedalaman bagi memastikan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat negeri berjalan lancar, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.


Beliau berkata penyediaan pusat pengagihan vaksin itu juga sebagai usaha untuk memastikan semua lapisan rakyat Sabah dapat menerima suntikan vaksin COVID-19 menerusi program itu, yang akan dilaksanakan secara berfasa.



"Kami (kerajaan negeri) berharap program imunisasi ini akan berjalan dengan baik sekali gus sampai kepada setiap pelusuk rakyat Sabah dan mereka menerima suntikan vaksin berkenaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program itu di sini kelmarin.


Terdahulu, Hajiji menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech, selain Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Shahelmy Yahya, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali dan Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah Dr Christina Rundi.


Berkongsi pengalamannya selepas menerima suntikan dos pertama vaksin itu, Hajiji berkata beliau tidak mengalami sebarang kesan sampingan mahupun sakit dan hanya merasa seperti suntikan biasa.


"Justeru, tidak perlu kita bimbang. Ada rakyat fikir bahawa menerima suntikan ini akan mendatangkan mudarat, itu tidak betul, (sebaliknya) kita menerima vaksin ini untuk melindungi kita daripada jangkitan COVID-19," katanya yang turut dipantau selama 15 minit selepas menerima suntikan tersebut.


Sebelum ini, Hajiji berkata kerajaan negeri telah melakukan segala persiapan diperlukan bagi menjayakan program imunisasi COVID-19 termasuk menubuhkan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 di bawah Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Safar Untong.



Pegawai daerah serta pemimpin komuniti di kawasan terbabit akan memainkan peranan masing-masing dalam melaksanakan program ini di peringkat akar umbi.


Sementara itu Hazani ketika ditemui pemberita pada majlis yang sama menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan berita palsu mengenai vaksin terutama di media sosial dan sentiasa bertanggungjawab dalam berkongsi maklumat.


"Polis akan sentiasa memantau bagi memastikan tiada penyebaran berita palsu mengenai vaksin dan masyarakat sentiasa mendapat maklumat yang tepat serta terkini mengenai program imunisasi COVID-19 dilaksana kerajaan," katanya.


Pada 25 Feb, Sabah menerima sebanyak 16,380 dos kumpulan pertama vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech bagi program imunisasi itu, yang akan diedarkan ke seluruh negeri bagi proses vaksinasi petugas barisan hadapan dan rakyat, manakala lima lagi kumpulan vaksin akan dihantar ke Sabah hingga 1 April ini.


Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilaksanakan dalam tiga fasa dengan Fasa 1 bemula Februari hingga April 2021 untuk pekerja barisan hadapan yang melibatkan 500,000 orang. - Bernama


bottom of page