top of page
nabalunews

Sabah tamatkan cabaran SUKMA Sarawak XXI dengan 29 Emas, 36 Perak dan 55 Gangsa


24 Ogos 2024


KUCHING: Sabah menamatkan cabaran SUKMA Sarawak XXI yang berakhir hari ini dengan 29 pingat emas, 36 perak dan 55 gangsa selepas tambahan satu pingat emas, tiga perak dan tiga gangsa pada hari terakhir kejohanan.


Pingat emas terakhir Sabah dimenangi Marvell Vincent Voo dalam acara gimnastik artistik manakala rakannya, Addison Chang Sui Xin menang gangsa pada pertandingan akhir yang berlangsung di Serian Conference Centre, lapor Info X.


Marvell menang dalam acara palang tunggal lelaki selepas mencatat 15.500 mata . Pingat perak milik Wilson Wei Sin Yeoh (Pulau Pinang: 12.375 mata) manakala gangsa dimenangi Muhammad Bariq Adif Mat Daud (Johor: 11.550 mata).


Addison pila berkongsi pingat gangsa dengan atlet Perak, Nor Saiful Aiman Norazman selepas masing-masing mencatat 12.338 mata acara melombol lelaki. Pingat emas dimenangi Noorazrul Jamirul Jamrus (Negeri Sembilan: 13.175 mata) manakala pingat perak milik Nor Adam Hazziq Nor Azaha (Kelantan: 13.013 mata).


Ketua jurulatih, Liew Tong Ee berkata, pencapaian itu mengotakan sasaran satu pingat emas skuad gimnastik.


“Kami memang sasar satu pingat emas sahaja dan ia dapat dikotakan di samping tambahan satu gangsa. Tahniah kepada seluruh anggota pasukan.


“Terima kasih kepada jurulatih-jurulatih kebangsaan dan Sabah yang telah mengasah bakat atlet kita selepas sahaja fasa pertama pemilihan pada 2022,” katanya sambil memberitahu bahawa Marvell ialah atlet junior kebangsaan dan berlatih di Sekolah Sukan Bukit Jalil.


Sementara itu, dalam acara pelayaran di Marina Bay Miri hari ini menyaksikan skuad pelayaran Sabah menamatkan cabaran dengan tiga pingat perak dan satu gangsa untuk keseluruhan pungutan tiga pingat emas, enam perak dan dua gangsa.


Pingat perak hari ini dimenangi Muhammad iman Aqeel dalam acara Optimist lelaki , Nur Hafizanah (Optimist wanita) dan pasukan campuran Optimist yang dibarisi Kee Aleana Abdullah, Muhd Aiman Aqeel Mohd Firdaus, Muhd Iftittah Andi Mallabbang, Nur Hafizanah Zailan dan Danyal Marczqui Rahmat Haron Muzaffar manakala gangsa dimenangi Danyal Marczqui (Optimist lelaki).


Semalam, skuad pelayaran Sabah meraih tiga pingat emas, tiga pingat perak dan satu pingat gangsa.


Pingat emas dimenangi Zeti Irdina Zainal dalam acara ILCA 4 wanita, Muhammad Asnawi Iqbal (ILCA 6 lelaki) dan Marcella Wilson Villaceran (Techno 293 wanita).


Pingat perak pula dimenangi Lucqmann Racheed Haron (Techno 293 lelaki), Mohamad Syahieradham Raiman (ILCA 4 lelaki) dan Nur Awatif Safri/ Nur Hafizanahanani Zailan (International 420 wanita) manakala gangsa dimenangi Mohammad Shahieran Raiman/ Mohammad Aiman Adam Mohd Firdaus (International 420 lelaki).


Namun, pencapaian keseluruhan 29 pingat emas, 36 perak dan 55 gangsa gagal mencapai sasaran 40 pingat emas.


Pingat emas dimenangi Sabah juga kurang berbanding SUKMA 2022 di mana Sabah meraih 30 pingat emas, 29 perak dan 39 gangsa.


Sabah hanya berjaya menambah kutipan pingat perak dan gangsa yang mungkin boleh `dinaik taraf’ apabila Sabah meneruskan misi pada SUKMA 2026 yang bakal berlangsung di Selangor.


Secara keseluruhannya Sabah di kedudukan kelapan di kalangan 15 pasukan yang bertanding di SUKMA Sarawak XXI.


Pasukan tuan rumah Sarawak buat julung kalinya muncul juara keseluruhan dengan 76 pingat emas, 55 perak dan 70 gangsa.


Wilayah Persekutuan di tempat kedua dengan 75 emas, 65 perak dan 72 gangsa dan ketiga Selangor 56 emas, 64 perak dan 61 gangsa.


Ini diikuti Pulau Pinang, Terengganu, Johor, Perak dan Sabah.


Majlis penutupan SUKMA Sarawak XXI malam ini disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Comments


bottom of page