Sabah terima Peruntukan Khas bakal percepatkan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo - Shahelmey

26 Februari 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Shahelmey Yahya, berkata peruntukan khas lebih RM20 bilion untuk negeri ini akan mempercepatkan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) fasa satu.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Beliau mengatakan bahawa pengumuman peruntukan khas dalam Belanjawan 2023 pada Jumaat amat dialu-alukan.
“Jika kita lihat di Sarawak, Lebuhraya Pan Borneo fasa satu mereka sudah hampir siap tetapi di Sabah belum lagi," katanya selepas majlis pelancaran Karnival Perpaduan Perumahan Daerah Putatan, memetik laporan Utusan Malaysia.
Jelas beliau, peruntukan khas tersebut sangat penting untuk mempercepatkan pelaksanaan projek itu di Sabah.
Dalam pada itu Shahelmey turut menyambut baik peruntukan RM6.5 bilion kepada Sabah yang menunjukkan peningkatan. Selain itu, pengumuman peruntukan bagi menaik taraf sekolah-sekolah daif di Sabah juga amat dialu-alukan.
Sabah mempunyai lebih 400 sekolah daif dan keperluan menaik taraf sekolah daif itu juga telah dibahaskan dalam Titah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.
Tambah beliau, usaha menaik taraf klinik-klinik kesihatan di Sabah yang berada dalam keadaan daif amat tepat pada masanya.
Ini kerana komuniti atau masyarakat di bandar, pinggir bandar dan luar bandar perlu mendapat perkhidmatan kesihatan yang baik.
Comments