- nabalunews
Saifuddin tegas tangani isu integriti dan rasuah
22 Ogos 2024
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memperkenalkan langkah lebih tegas untuk menangani isu rasuah dan pelanggaran integriti di kalangan pegawai dan anggota agensinya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menyatakan bahawa kementeriannya sedang meneliti semula aspek penempatan pegawai serta mempertimbangkan untuk melaksanakan pusingan kerja lebih kerap di agensi tertentu bagi mengelakkan kejadian pelanggaran integriti.
Saifuddin menegaskan bahawa walaupun terdapat penekanan berulang kali mengenai pentingnya integriti, isu ini masih berlaku, menyebabkan pihaknya perlu mengambil tindakan yang lebih mendalam.
"Jadi di sebalik penegasan berulang kali, tapi masih berlaku lagi, jadi di pihak kami akan melihat lagi aspek daripada sudut penempatan.
"Malah PM (perdana menteri) menekankan soal 'job rotation' (giliran kerja) bagi mengelakkan bahagian tertentu yang 'berlama-lama' di satu tempat yang mungkin mengundang keadaan tanpa kita prejudis..bukan maksudnya berada di situ 'berlama-lama' semestinya akan melakukan pelanggaran integriti, tidak.. tetapi sebagai kaedah daripada segi sistem pentadbiran dan pengurusan..'job rotation' adalah satu inisiatif yang kami tengok dengan serius," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KDN dan sambutan Bulan Kebangsaan di Putrajaya, lapor Berita RTM.
Beliau juga menyentuh mengenai insiden sindiket yang membawa masuk warga asing melalui pintu masuk negara tanpa pemeriksaan pihak berkuasa, yang dikaitkan dengan agensi di bawah KDN.
Dalam isu keselamatan, Saifuddin turut memuji kecekapan dan profesionalisme pihak polis dalam kejadian berbalas tembakan di Subang Jaya baru-baru ini, di mana tiada orang awam tercedera.
Beliau menegaskan bahawa keselamatan orang awam sentiasa menjadi keutamaan dalam operasi polis, dan pihaknya akan terus memastikan tindakan yang diambil adalah teliti dan profesional.
Commentaires