Sambutan Hari Sabah pada 31 Ogos akan diadakan di Tambunan

22 Ogos 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Sabah akan mengadakan sambutan Hari Sabah pada 31 Ogos tahun ini untuk memperingati 60 tahun kemerdekaan negeri itu daripada penjajahan British, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
Jelas Hajiji, ini adalah keputusan Kabinet Negeri yang telah memilih Tambunan sebagai tuan rumah untuk sambutan pertama kali ini.
Beliau juga berkata bahawa sambutan Hari Sabah akan diadakan setiap tahun dengan tempatnya akan digilirkan di kalangan daerah-daerah di Sabah.
“Kabinet juga telah memutuskan bahawa sambutan untuk menandakan peristiwa bersejarah penting Sabah akan disambut setiap tahun dengan tempatnya akan digilirkan di kalangan daerah.
“Marilah kita menghormati dan memperingati hari yang menandakan berakhirnya pemerintahan penjajah British di Sabah dan menandakan perjalanan kita untuk bersatu sebagai rakyat untuk mewujudkan pemerintahan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Selepas mendapat kemerdekaan, Sabah kemudiannya menyertai Persekutuan Malaysia bersama Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura pada 16 September 1963.
Hajiji menyatakan bahawa acara di Tambunan itu akan bermula pada pukul 3 petang selepas sambutan Hari Kebangsaan di Kota Kinabalu.
Comments