top of page

Saranan PM untuk Sarawak bekalkan elektrik ke Selatan Filipina, langkah positif - Madius

  • nabalunews
  • Feb 22
  • 2 min read

21 Februari 2025


KOTA KINABALU: Saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar Sarawak membekalkan tenaga elektrik ke Selatan Filipina adalah satu langkah positif untuk mempercepatkan penyambungan grid antara Sabah dan Sarawak.


Pengerusi Sabah Electricity, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, keputusan itu bukan saja memberi manfaat kepada negara jiran tetapi juga berperanan meningkatkan kapasiti bekalan elektrik di Sabah.


Katanya, Dalam konteks itu, Sabah Electricity sudah siap membina grid Sabah untuk disambung ke negeri jiran Sarawak.


“Sekarang ini kami menunggu mereka menyiapkan pembinaan grid untuk disambungkan ke grid Sabah.


"Perjanjian jual beli elektrik antara Sabah dan Sarawak sudah pun ditandatangani sekian lama meliputi pembelian tenaga elektrik bermula dengan 30 megawatt (MW) dan kemudian dinaikkan kepada 50MW dalam tempoh lima tahun," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Madius berkata demikian sebagai respons kepada Perdana Menteri susulan saranannya kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menjual elektrik kepada Filipina.


Madius bagaimanapun berkata, Sabah Electricity berhasrat untuk meningkatkan lagi kapasiti itu sehingga 100MW.


"Ia seiring dengan keupayaan Sarawak membekalkan bekalan tenaga. Namun urusan jual beli ini memerlukan penyambungan grid antara kedua wilayah terlebih dahulu.


"Sebab itu kerjasama yang baik antara Sabah dan Sarawak akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan kapasiti dan kestabilan bekalan elektrik di wilayah ini," katanya.


Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, beliau melihat pengeksportan tenaga dari Sarawak ke Filipina akan lebih berkesan sekiranya pembinaan Projek Southern Link disiapkan dengan segera.


"Projek ini melibatkan pembinaan talian penghantaran sepanjang 330 kilometer bermula dari Sipitang ke Tenom dan seterusnya ke Kalabakan dan Tawau sebagai tambahan kepada talian penghantaran sedia ada.


“Ini adalah langkah strategik yang akan membantu meningkatkan kestabilan bekalan elektrik Sabah, sekali gus memperkukuh jaringan tenaga di rantau ini.


"Sebagai Wilayah berjiran, hubungan Sabah dan Sarawak sememangnya boleh diibaratkan umpama adik-beradik.


"Kita sentiasa mengekalkan hubungan kerjasama yang baik dalam pelbagai sektor, termasuk tenaga," katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page