Sarawak-Sabah Link Road bukan projek Jana Wibawa: KKR

26 November 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya (KKR) menjelaskan bahawa projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) tidak termasuk dalam kategori projek Jana Wibawa iaitu Agenda Program Memperkasa Kontraktor Bumiputera Berwibawa.
KKR memberi penjelasan mengenai isu yang dibangkitkan Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Azis Jamman semasa sesi perbahasan Bajet 2022 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat pada 25 November lalu.
Menurut kenyataan media KKR, kajian projek SSLR dilaksanakan pada 2007 bagi membina jalan alternatif menghubungkan Sarawak dan Sabah tanpa melalui negara jiran, Brunei Darussalam melibatkan jarak melebihi 300km dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM4.5 bilion.
“Mengambil kira kos projek yang tinggi, pembinaan projek ini perlu dilaksanakan secara berperingkat. Untuk itu fasa pertama projek ini diluluskan dari Agensi Pusat pada tahun 2019 - iaitu dalam Rolling Plan ke-3 RMKe-11, dengan siling peruntukan keseluruhan fasa 1 sebanyak RM1.2 bilion.
“Fasa 1 SSLR melibatkan pembinaan jalan piawaian JKR R3 dari bandar Lawas ke persimpangan Long Lopeng sepanjang 77km. Ia telah diawad secara runding terus kepada Samling Resources Sdn. Bhd pada September 2021 lalu harga kontrak sebanyak RM1.13 bilion,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Pada 25 November lalu, Azis meminta Kementerian Kewangan memberi penjelasan mengenai pelaksanan Program Jana Wibawa, iaitu program jana ekonomi pemerkasaan kontraktor Bumiputera berwibawa, berkaitan satu kontrak runding terus yang dianugerahkan kepada syarikat Samling Resoures Sdn Bhd bagi membina jalan Sarawak-Sabah Link Road, dari persimpangan Long Lopeng di Lawas, berjumlah RM1.13 bilion.
Kementerian Kerja Raya turut memaklumkan bahawa projek itu tidak termasuk dalam kategori projek Janawibawa iaitu Agenda Program Memperkasa Kontraktor Bumiputera Berwibawa sebagaimana didakwa oleh Ahli Parlimen Sepanggar.
Menurut kenyataan itu, keputusan untuk menganugerahkan projek itu secara rundingan terus kepada syarikat berkenaan telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan pada Januari 2020. Keputusan tersebut adalah berdasarkan persetujuan mantan Perdana Menteri ke-7 dan mantan Perdana Menteri ke-8 lanjutan daripada perakuan oleh mantan Menteri Kerja Raya.
“Pemilihan Samling Resources Sdn Bhd - iaitu syarikat subsidiari Kumpulan Samling – telah dibuat oleh Kerajaan berasaskan kepada pertimbangan faktor harga yang kompetetif dan pengalaman kerja serta kemudahan urusan logistik yang ditawarkan oleh syarikat berkenaan.
Mengenai penglibatan Kimlun Sdn Bhd dalam projek ini, Kementerian Kerja Raya ingin memaklumkan ia merupakan Sub Kontraktor Dinamakan (NSC) yang dilantik oleh kontraktor utama (Samling Resources Sdn Bhd) untuk skop kerja-kerja pembinaan dengan harga sebanyak RM780 juta.
Harga subkontrak tersebut tidak termasuk kos-kos lain dalam pelaksanaan projek seperti kos pengambilan balik tanah, pengalihan utiliti, kos juru perunding dan lain-lain kos sampingan, kata kenyataan itu.
Comentários