top of page

Sasaran 99.9 peratus liputan bekalan elektrik di Sabah menjelang akhir 2025

Wartawan Nabalu News

Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Samad Jambri.

24 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri dan Persekutuan mengambil inisiatif membuat perancangan Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) secara menyeluruh di Sabah dengan memberi keutamaan kampung-kampung yang langsung belum mempunyai bekalan elektrik.


Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Samad Jambri berkata, ini bagi mencapai sasaran liputan bekalan elektrik 99.9 peratus menjelang akhir tahun 2025.


Beliau berkata, maklumat kampung yang tidak mempunyai bekalan elektrik diperolehi melalui Sistem Profail Kampung yang sentiasa dikemaskini oleh pejabat daerah dari semasa ke semasa yang akan diserahkan kepada Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB).


"Berdasarkan kepada maklumat tersebut, pihak SESB akan membuat perancangan bagi tempoh lima tahun bermula 2021 sehingga 2025 dengan mensasarkan peratusan liputan bekalan elektrik mencapai 99.9 peratus menjelang akhir tahun 2025.


"Program cadangan BELB ini akan memberi manfaat kepada 318 kampung dan 16,464 buah rumah di negeri Sabah ," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nabawan Datuk Abdul Ghani, Mohamed Yassin, pada sesi soal jawab persidangan dewan undangan negeri, di sini, hari ini.


Samad berkata, program BELB masih dilaksanakan sehingga kini di seluruh Sabah di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan.


"Dalam memastikan pelaksanaan BELB berada di landasan yang betul, pihak Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan telah mengambil inisiatif untuk membuat perancangan BELB secara menyeluruh dengan memberi keutamaan kepada kampung-kampung yang langsung belum mempunyai bekalan elektrik," katanya.


Beliau berkata, bagi daerah Nabawan, sebanyak 66 buah kampung dikenalpasti belum mempunyai bekalan elektrik melibatkan 982 buah rumah.


"Senarai kampung ini telah diserahkan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar Persekutuan (KPLB Persekutuan) melalui Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) sebagai cadangan untuk dilaksanakan dalam RMKe-12.


"Manakala, bagi Keningau sehingga kini sebanyak 111 kampung melibatkan 5,345 buah rumah telah dibekalkan elektrik melalui program BELB dan masih terdapat projek BELB di beberapa kampung masih dalam peringkat pelaksanaan yang dijangka siap pertengahan tahun 2022, " katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page