top of page
  • nabalunews

Satu juta pelancong India disasarkan datang ke Malaysia akhir tahun ini

2 Ogos 2024


PUTRAJAYA: Seramai satu juta pelancong India disasarkan Tourism Malaysia datang ke negara ini menjelang akhir tahun ini.


Ketua Pengarah Tourism Malaysia P. Manogaran berkata, dengan beroperasinya penerbangan terus AirAsia yang baharu, menghubungkan Guwahati dan Kozhikode (Calicut) ke Kuala Lumpur, sasaran kedatangan pelancong India itu dapat dicapai.


Laluan baharu itu, yang bermula hari ini, akan beroperasi tiga kali seminggu, menurut agensi penggalakan pelancongan negara itu.


Jelas beliau, pengembangan itu mengukuhkan keterhubungan udara antara India dan Malaysia, menawarkan lebih banyak kemudahan untuk pelancong dan mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara.


"Kami teruja untuk bekerjasama dengan AirAsia bagi meningkatkan kebolehcapaian kepada pengembara dari Guwahati dan Kozhikode. Penerbangan terus ini menekankan komitmen kami untuk mempromosikan pelancongan, mengukuhkan hubungan bilateral dan yakin laluan ini akan merangsang kedatangan pelancong dan memberikan pengalaman indah di Malaysia kepada pengunjung," katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.


India merupakan pasaran pelancongan utama bagi Malaysia.

Pada April 2024, kedatangan pelancongan India meningkat 80.2 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023, iaitu mencecah 295,000 pengunjung.



Comments


bottom of page