Satu kluster baharu libatkan pelajar asrama SMK Beluran
- Wartawan Nabalu News
- Feb 20, 2022
- 1 min read

20 Feb 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Satu kluster baharu institusi pendidikan direkodkan hari ini dikenali sebagai Kluster Jalan Beluran Lama - Beluran melibatkan pelajar asrama SMK Beluran.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, indeks kes adalah pelajar lelaki, 18 tahun, warganegara dan dikesan melalui saringan bergejala pada 17 Feb lalu.
“Saringan terhadap kontak rapat mendapati pertambahan 34 kes. Secara keseluruhannya, jumlah kumulatif kluster ini ialah 35 kes positif setakat 20 Feb.
“Semua kes telah diasingkan dan diberikan rawatan selanjutnya. Kontak rapat tidak bergejala juga diberikan perintah kuarantin,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Masidi berkata, jumlah kumulatif tersebut merupakan hasil saringan terhadap 75 kontak rapat yang tinggal di asrama melalui saringan bergejala.
Katanya lagi, dua kluster diisytiharkan tamat hari ini iaitu Kluster Kayul di Kuala Penyu yang merupakan Kluster Komuniti dan Kluster Pandan-Pandan di Putatan yang merupakan Kluster Institusi Pendidikan.
“Jumlah kluster di Negeri Sabah yang masih aktif ialah 41 kluster,” katanya.
Comments