SATU LAGI PKRC DI LABUAN DIBUKA HARI INI
29 OKTOBER 2020
KUALA LUMPUR: Satu lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 untuk kes berisiko rendah (PKRC) mula beroperasi di Labuan hari ini, bagi menampung peningkatan jumlah kes COVID-19 di wilayah itu.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata disebabkan bilangan pesakit yang semakin bertambah, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan (JKWP) Labuan telah menyediakan PKRC di Dewan Perbadanan Labuan dengan kapasiti 140 katil, sebagai tambahan kepada kepada 177 katil di PKRC sedia ada sebelum ini, menjadikan jumlah keupayaan katil PKRC di Labuan sebanyak 317 katil.
“Pembukaan PKRC di Dewan Perbadanan Labuan ini adalah hasil kerjasama semua pihak, termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perbadanan Labuan dan agensi lain di Labuan serta Taiwan Buddist Tzu-Chi Foundation Malaysia, Institut Latihan Perindustrian dan beberapa penyumbang lain, yang menjadikan pusat rawatan ini dapat dibuka dalam tempoh 24 jam.
“Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak atas pendekatan ‘The Whole of Government and Whole of Society Approach’,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 di sini hari ini.
Beliau berkata tenaga kerja bagi pusat rawatan baharu itu akan menggunakan sepenuhnya tenaga kerja di JKWP Labuan dan pasukan bantuan yang telah dihantar di JKWP Labuan, di mana pasukan tersebut akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa untuk memastikan program kawalan COVID-19 di Labuan berjalan lancar seperti yang dirancang. – Bernama
Comments