- Wartawan Nabalu News
Sebanyak 17 daerah di Sabah catat peningkatan kes Covid
24 Julai 2021 Oleh Wartawan Nabalu News KOTA KINABALU: Sebanyak 17 daerah di Sabah mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 pada hari ini berbanding kes semalam (23 Julai). Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, daerah-daerah itu ialah Sandakan, Kota Kinabalu, Beaufort, Penampang, Keningau, Kudat, Kota Belud, Kuala Penyu, Kunak, Lahad Datu, Tenom, Semporna, Pitas, Ranau, Beluran, Telupid dan Tambunan. “Sembilan lagi daerah mencatatkan penurunan kes iaitu Sipitang, Tawau, Kalabakan, Tuaran, Kinabatangan, Papar, Putatan, Kota Marudu dan Tongod,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Masidi berkata, seluruh daerah di negeri ini mencatatkan perubahan angka yang tidak statik dan dengan jumlah catatan sebanyak 383 kes daripada Saringan Kontak Rapat, dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan SOP. Beliau berkata, jumlah kes positif Covid-19 di Sabah hari ini (712 kes) berbanding 516 kes semalam disebabkan berlakunya kes-kes baharu positif di semua daerah di negeri ini. “Penyumbang utama kes hari ini adalah daripada saringan kontak rapat sebanyak 383 kes atau 53.8 peratus daripada kumulatif kes harian Negeri Sabah, diikuti tambahan kes dari Saringan Kluster Sedia Ada dengan (112 kes) atau 15.7 peratus dan Saringan Bersasar sebanyak 88 kes atau 12.4 peratus,” katanya.
Comments