top of page

65 DARIPADA 158 KLUSTER AKTIF COVID-19 BERKAITAN TEMPAT KERJA

  • Wartawan Nabalu News
  • Nov 13, 2020
  • 1 min read

13 NOV 2020


Oleh Wartawan Nabalu News

KOTA KINABALU: Sebanyak 5,681 kes positif Covid-19 yang berkaitan kluster tempat kerja adalah melibatkan 3,369 (59.3 peratus) warganegara dan 2,312 (40.7 peratus) bukan warganegara.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr.Noor Hisham Abdullah berkata, ini adalah hasil tindakan proaktif majikan yang turut sama menjalankan saringan Covid-19 terhadap pekerja-pekerja mereka.

“Ingin dimaklumkan daripada 158 kluster aktif Covid-19 yang dilaporkan, sebanyak 65 kluster (41.1 peratus) adalah berkaitan dengan tempat kerja termasuk dua kluster baharu diumumkan pada hari ini,” katanya pada sidang akhbar yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Noor Hisham berkata, KKM menyampaikan penghargaan kepada majikan kerana bersama-sama membantu mengesan kes-kes positif di kalangan warga kerja.

“Tindakan ini dapat mengekang penularan Covid-19 dalam komuniti dan seterusnya membantu KKM dalam menjalankan aktiviti kesihatan awam.

“Hal ini sekaligus dapat melindungi individu-individu yang berisiko tinggi, warga emas dan kanak-kanak daripada dijangkiti Covid-19,” katanya.

Beliau turut menyeru warga pekerja supaya sentiasa mematuhi Prosedur Amalan Standard (SOP) yang ditetapkan dan sentiasa mengamalkan kawalan kendiri bagi membendung penularan Covid-19 di tempat kerja.

“Majikan dan warga pekerja hendaklah sentiasa memastikan persekitaran tempat kerja dan kawasan gunasama (misalnya tandas, dapur dan pantri) yang bersih dan selamat bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Selain itu, pihak majikan juga diingatkan untuk memastikan pekerja mereka mematuhi segala SOP yang ditetapkan termasuk menjaga kebersihan di kawasan penginapan dan tempat tinggal.

“Ini kerana didapati risiko penularan adalah tinggi bagi kawasan penginapan yang sesak dan sempit,” katanya.


 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page