top of page
  • Wartawan Nabalu News

SEGERAKAN BANTUAN KOMPUTER RIBA SEBELUM PELAKSANAAN PDPR


Gambar Hiasan

27 April 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Jawatankuasa (JK) Pendidikan Pakatan Harapan menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menyegerakan bantuan komputer riba seperti yang dijanjikan dalam Belanjawan 2021 kepada semua golongan secepat mungkin.


Menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan Dr Maszlee Malik, Nik Nazmi Nik Ahmad (Parti Keadilan Rakyat) Teo Nie Ching Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Datuk Dr Hasan Baharom, Parti Amanah Negara (AMANAH), mereka juga menggesa supaya pihak kerajaan dapat memberi insentif khas kepada para guru untuk pembelian data dan alat bantuan mengajar demi memudahkan urusan PdPR.



"Langkah ini bagi memastikan proses PdPR yang akan dilaksanakan memberi keberkesanan yang maksima kepada semua murid dan guru," menurut kenyataan itu yang dikongsikan di media sosial Facebook Dr.Maszlee Malik, hari ini.


Pada 26 April lalu, KPM melalui satu kenyataan rasminya telah mengumumkan bahawa sekolah-sekolah yang belum ditutup buat masa ini di seluruh negara akan ditutup selepas cuti Hari Raya Aidilfitri sehingga cuti penggal pertama tamat.


Pengumuman itu merupakan satu tindak balas akibat kenaikan kes Covid-19 yang mendadak melibatkan Kluster Pendidikan.


Walaupun banyak sekolah di negeri-negeri seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Johor telah ditutup sementara waktu bagi proses sanitasi, namun KPM bersedia menutup sekolah secara keseluruhan mulai 8 Mei 2021 iaitu mengambil masa 2 minggu daripada sekarang.


Sehubungan itu, JK Pendidikan Pakatan Harapan berpandangan bahawa berapa lama tempoh PdPR dilaksanakan sekalipun, yang penting ialah bantuan komputer riba harus disegerakan kepada murid yang memerlukan.


"Arahan melaksanakan PdPR merupakan satu langkah wajar untuk dilaksanakan memandangkan situasi pandemik Covid-19 terus meningkat, tetapi ia harus diiringi dengan bantuan-bantuan kemudahan PdPR buat murid mahupun guru yang tidak mempunyai kelengkapan," menurut kenyataan itu.


Jk Pendidikan Pakatan Harapan turut mengalu-alukan guru-guru, murid dan ibu bapa yang memerlukan bahan pembelajaran untuk menggunakan platform Sophia.my sebagai salah satu alternatif sepanjang PdPR nanti.





Comments


bottom of page