Sejarah tercipta, RUU Anti Lompat Parti diluluskan hari ini
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sejarah tercipta, RUU Anti Lompat Parti diluluskan hari ini



28 Julai 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Sejarah tercipta hari ini apabila Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti selepas dibahaskan selama dua hari bermula semalam melibatkan 54 ahli parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.


Dalam undi belah bahagi yang diumumkan Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun, kesemua 209 Ahli Parlimen yang hadir menyokong dan 11 lagi tidak hadir.


RUU itu dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menggulung perbahasan RUU hari ini.


“Hari yang bersejarah. Akta lompat parti diluluskan oleh 209 Ahli Parlimen. A good day for democracy,” kata Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman melalui ciapan Twitternya sebentar tadi.


Ahli Parlimen Subang Wong Chen dalam Twitternya menyatakan undang-undang anti lompat parti telah diluluskan pada jam 5.00 petang dengan undian seramai 209 ahli parlimen.


Penggubalan akta anti-lompat parti memerlukan sokongan dua pertiga majoriti di Parlimen bagi meminda Perkara 10 (1)(c) Perlembagaan Persekutuan. Ia memerlukan sekurang-kurangnya 148 sokongan daripada Ahli Parlimen atau dua pertiga bagi membolehkan ia diluluskan dan menjadi sebahagian Perlembagaan Malaysia.



bottom of page