top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sekolah cetuskan kluster baharu ditutup serta-merta: Masidi


Gambar Hiasan

29 Januari 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Semua sekolah yang diisytiharkan sebagai kluster baharu diarah ditutup serta-merta selama dua hingga tiga minggu.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, setakat 28 Januari (kelmarin) sebanyak 10 kluster melibatkan Institusi Pendidikan di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).


Beliau berkata, ia menunjukkan peningkatan berbanding laporan sebelum ini. Sehubungan itu kerajaan negeri membuat keputusan untuk menutup serta-merta sekolah yang merekodkan kluster baharu.


“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Negeri Sabah yang bermesyuarat pada 26 Januari lalu memutuskan supaya pelaksanaan beberapa tindakan dibuat bagi mengurangkan risiko penularan Covid dan ia telah disampaikan melalui surat Setiausaha Kerajaan Negeri bertarikh 27 Januari 2022.


“Arahan itu adalah untuk menutup sekolah yang didapati kluster baharu melibatkan pelajar sekolah berkuat kuasa serta-merta, tempoh pelaksanaan penutupan adalah selama dua hingga tiga minggu tertakluk kepada pengesahan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.


“Sesi pembelajaran bagi semua pelajar sekolah yang akan menghadapi peperiksaan utama boleh diteruskan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di kalangan pelajar termasuk guru dan kakitangan insitusi pendidikan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media.


Masidi berkata, sejak 1 sehingga 26 Januari lalu, terdapat enam Kluster Institusi Pendidikan aktif dan enam lokaliti di bawah pemantauan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah melibatkan fasiliti pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia.


“Ini telah mencetuskan kebimbangan dan menjadi agenda perbincangan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Sabah pada 26 Januari lalu yang prihatin dengan laporan tren jangkitan Covid-19 di beberapa buah sekolah di negeri ini.


“Justeru, tindakan proaktif dan bersifat preventif perlu dilaksanakan segera bagi membendung penularan Covid-19 di institusi pendidikan negeri Sabah dengan lebih luas,” katanya.

Comments


bottom of page