top of page
Wartawan Nabalu News

SEKOLAH DITUTUP MULAI 9 NOV, SESI BERSEMUKA PADA 20 JAN 2021



8 NOV 2020


KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memutuskan bahawa semua sekolah termasuk Kolej Vokasional di bawah KPM di seluruh negara akan ditutup bermula pada 9 November 2020 sehingga ke hari akhir persekolahan tahun ini iaitu pada 17 Disember 2020.


Menteri Kanan Pendidikan Dr.Radzi Jidin berkata, langkah itu diambil berikutan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 6 Disember ini dan untuk membantu usaha Kerajaan memutuskan rantaian penularan jangkitan wabak COVID-19.


Beliau berkata, mengambil kira pengumuman tersebut serta takwim persekolahan tahun 2020, KPM telah memutuskan bahawa semua sekolah termasuk Kolej Vokasional di bawah KPM di negeri-negeri terlibat akan ditutup bermula pada 9 November sehingga ke hari akhir persekolahan tahun ini iaitu pada 17 Disember bagi negeri Kumpulan A dan 18 Disember 2020 bagi negeri Kumpulan B.


“Penutupan ini melibatkan 74 peratus daripada jumlah keseluruhan sekolah di bawah KPM.


“KPM telah memutuskan bahawa semua sekolah di negeri Kelantan, Pahang, Perlis dan Sarawak akan turut ditutup bermula pada 9 November 2020 sehingga ke hari akhir persekolahan tahun ini iaitu pada 17 Disember 2020 bagi negeri Kumpulan A dan 18 Disember 2020 bagi negeri Kumpulan B,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media yang disiarkan secara langsung melalui laman Facebook Kementerian Pendidikan Malaysia, hari ini.


Radzi berkata, sepanjang tempoh penutupan tersebut, pengajaran dan pembelajaran akan tetap diteruskan secara Home-based Learning mengikut kesesuaian guru dan murid.


“Pentadbir sekolah perlu memastikan guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah. Di sepanjang tempoh ini juga, guru perlu kekal berada di stesen tempat bertugas masing-masing.


“Bagi murid yang tinggal di asrama pula, ibu bapa atau penjaga perlu mengambil mereka untuk pulang ke rumah masing-masing,” katanya.


Bagaimanapun katanya, murid boleh terus kekal berada di asrama sementara menunggu untuk diambil oleh ibu bapa atau penjaga. Di sepanjang tempoh tersebut, murid akan berada di bawah pengawasan warden asrama.


“Keperluan makan dan minum murid sepanjang tempoh tersebut akan disediakan oleh pihak sekolah.


“Penggal persekolahan akan bermula pada 20 Januari 2021. Semua murid sekolah rendah akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada tarikh tersebut.


“Bagi sekolah menengah pula, murid Tingkatan 1, Tingkatan 4, Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 serta semua murid Kolej Vokasional akan memulakan persekolahan secara bersemuka pada tarikh yang sama.


“Manakala, murid Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 akan memulakan sesi persekolahan pada tarikh yang sama tetapi secara Home-based Learning mengikut kesesuaian guru dan murid,” katanya.


Beliau berkata, mereka akan kembali ke sekolah untuk sesi pembelajaran secara bersemuka pada 8 Mac 2021.

Comentários


bottom of page