SEKTOR PENGELUARAN DAN PEMPROSESAN MAKANAN MAMPU SUMBANG PENINGKATAN EKONOMI SABAH
- nabalunews
- Dec 22, 2020
- 2 min read

22 DIS 2020
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Mokran Ingkat mencadangkan agar sektor pengeluaran dan pemprosesan makanan diangkat sebagai sektor yang boleh menyumbang kepada peningkatan ekonomi Sabah.
“Jumlah peruntukan yang besar yang diperuntukkan dan disalurkan kepada Kementerian Pertanian dan Perikanan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah jelas menunjukkan bahawa kerajaan sedar akan kepentingan Sabah dalam bidang mengeluarkan makanan sendiri justeru telah memberi tumpuan kepada sektor ini.
“Diharap usaha ini mampu mengurangkan kebergantungan negeri kita kepada sumber makanan dari luar untuk kegunaan kita kerana sehingga hari ini kita masih terpaksa membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk mengimport makanan yang sebenarnya boleh kita hasilkan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahas Belanjawan Negeri Sabah 2021 di Dewan Undangan Negeri (DUN) disini pada Isnin.
Menurut Mokran, selain daripada memastikan bekalan makanan yang mencukupi untuk rakyat Sabah, pengeluaran dan pemprosesan makanan tempatan mampu meningkatkan pendapatan golongan petani, penternak dan nelayan, khususnya di desa.
“Usaha kerajaan dalam membantu golongan ini dalam belanjawan kali ini harus dihargai dan wajar dimanfaatkan oleh mereka.
“Namun begitu usaha juga harus dipertingkatkan untuk membantu golongan petani, nelayan dan penternak desa untuk mengujudkan sistem pengurusan secara profesional dan dipimpin secara berterusan dan dibantu sehingga mencapai tahap berjenama kualiti eksport.
“Kementerian Innovasi mungkin boleh menyumbang dengan mewujudkan skim latihan kemahiran menggunakan teknologi yang bersesuaian,” katanya lagi.
Mokran turut mencadangkan agar Kerajaan memberi tumpuan kepada sektor pelancongan kerana sektor ini adalah antara penyumbang kepada penjanaan ekonomi Sabah.
“Kita semua tahu bahawa negeri kita ini kaya dengan pelbagai asest-aset pelancongan yang bernilai dan kita yakin pada tahun hadapan sektor ini akan menjadi penyumbang utama kepada perkembangan ekonomi negeri, apabila pintu masuk ke Sabah dibuka sepenuhnya.
Dalam pada itu, Mokran turut mencadangkan agar kemudahan dan peralatan yang ada disetiap tempat duduk ahli-ahli ADUN dinaiktaraf agar seiring dengan perkembangan teknologi dan keperluan semasa.
“Sudah masanya kita melengkapkan kemudahan di DUN kita, supaya kita dapat menjalankan kewajipan dengan lebih berkesan, misalnya ada komputer untuk merujuk dan menyimpan maklumat yang mudah diakses.
“Saya juga memohon kepada kerajaan dan menyokong jika elaun mesyuarat dan elaun hotel Ahli-Ahli DUN berjumlah RM50 dan RM80 sekarang, dinaikkan sesuai dengan kedudukan terhormat Ahli Ahli DUN kerana nilai elaun yang ada sekarang ini amat tidak sesuai lagi,”katanya.
Tambah Mokran lagi, Kerajaan perlu memberi perhatian kepada masalah yang ditinggalkan oleh Kerajaan lama.
“Di N51 Sungai Manila, saya menghadapi dua masalah besar yang ditinggalkan oleh kerajaan lalu, berkaitan dengan Tanah Anak Negeri, iaitu Rezab Tanah Anak Negeri di Kampung Sungai Batang dan Rezab Tanah Anak negeri di Kampung Sinar baru.
“Saya mohon perkara ini diambil perhatian, agar permit yang tidak teratur yang dikeluarkan oleh Pemegang Amanah yang dilantik semasa kerajaan Warisan, digantung kerana telah meminggirkan pemohon asal yang layak,sesuai dengan status rezab kampung berkenaan hanya untuk penduduk asal terutama yang telah dipindahkan untuk membangunkan jalan dan hub Pendidikan di Sungai Batang,” ujar beliau lagi.















Comments