Selesai angkat sumpah, Ewon adakan pertemuan dengan KSU Kementerian
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Selesai angkat sumpah, Ewon adakan pertemuan dengan KSU Kementerian

Ewon menerima Buku Nota Ringkas KUSKOP daripada Suriani.

3 Disember 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia Datuk Ewon Benedick mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Suriani Dato Ahmad.


Perbincangan tersebut menjurus kepada perkongsian aspirasi dan halatuju di Kementerian serta peranan untuk membangunkan sektor keusahawanan di negara ini.


“Sektor perusahaan kecil dan sederhana di negara ini sangat penting kerana ianya menyumbang besar kepada ekonomi negara. Paling penting, sektor inilah yang paling banyak menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia,” katanya.


Menurut Ewon, beliau akan meneruskan sesi libat urus dengan pelbagai pemain industri perusahaan kecil dan sederhana serta persatuan-persatuan berasaskan keusahawanan di negara ini.

“Saya juga ingin melihat usaha yang agresif untuk membantu perusahaan kecil penjaja termasuk yang di tamu-tamu kerana sokongan kementerian sangat penting buat mereka. Selain itu, saya ingin melihat sektor pelancongan luar bandar berasaskan komuniti dibangunkan melalui sokongan kementerian sama ada melalui koperasi atau persatuan usahawan, termasuk di Kadamaian.


“Saya juga ingin melihat perusahaan berasaskan digital dibangunkan di Sabah, khususnya di Penampang,” kata Ewon selepas dihubungi wartawan Nabalu News yang bertanyakan lanjut mengenai pertemuan tersebut.


Menurut Ewon, beliau akan mendapatkan taklimat lebih terperinci daripada Kementerian dan semua agensi di bawah Kementerian sebelum mengadakan sesi libat urus dan program akar umbi melalui Kementeriannya.


“Saya juga berharap hubungan dan kerjasama Kementerian dengan Kerajaan-Kerajaan Negeri dapat diperkasakan kerana saya melihat Kerajaan Negeri memainkan peranan menyediakan infra yang berkaitan, manakala pihak Kementerian pula akan menyediakan program-program sokongan yang berkaitan kepada pemain industri kecil dan sederhana,” katanya.

bottom of page