top of page
  • Writer's pictureMarryan Razan

Semua aktiviti sukan, rekreasi kecuali berkelah, dibenarkan bagi individu lengkap vaksin


Gambar Hiasan

5 Okt 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Semua aktiviti sukan dan rekreasi secara individu tidak bersentuhan dan bersentuhan fizikal kini dibenarkan kepada mereka yang telah lengkap divaksin.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, antara aktiviti sukan tidak bersentuhan fizikal ialah joging, memancing, Taichi, berbasikal, golf, memanah, tenis, badminton, sukan menembak dan permotoran di kawasan terbuka bagi tujuan kesihatan dan bukan pertandingan.


“Manakala aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal pula melibatkan bola sepak, bola tampar dan takraw. Aktiviti sukan dan rekreasi dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 10 malam.


"Bagaimanapun aktiviti berkelah tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.


Masidi berkata, bagi aktiviti kecergasan individu seperti senamrobik dan zumba secara berkumpulan di gimnisium, ia juga dibenarkan dengan 50 peratus kapasiti atau tidak melebihi 30 orang, dengan syarat jurulatih dan peserta telah lengkap divaksin.


Katanya lagi, aktiviti hiking turut dibenarkan kepada individu yang telah lengkap divaksin.


Mengenai kehadiran penonton atau penyokong ke tempat perlawanan sukan dan rekreasi, beliau berkata, ia juga dibenarkan kepada mereka yang telah lengkap divaksin.


“Bagaimanapun kanak-kanak bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan untuk menonton perlawanan di tempat acara sukan berlangsung,” katanya.

Comments


bottom of page