Semua rakyat dewasa dapat bantuan SARA RM100
- nabalunews
- Jul 23, 2025
- 2 min read

23 Julai 2025
PUTRAJAYA: Setiap warganegara berusia 18 tahun ke atas akan menerima bantuan tunai RM100 secara one-off menerusi Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan yang disalurkan secara automatik melalui MyKad bermula 31 Ogos depan itu bertujuan meringankan beban sara hidup serta penghargaan dan meraikan rakyat sempena Hari Kebangsaan 2025.
"Bantuan ini boleh dibelanjakan bermula 31 Ogos 2025 sehingga 31 Disember 2025 bagi membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya di seluruh negara.
"Bantuan ini diberikan secara individu dan bukannya isi rumah. Maknanya, sebuah isi rumah umpamanya suami, isteri dan dua orang anak dewasa akan dapat RM400," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia yang turut disiarkan secara langsung melalui stesen televisyen tempatan hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ikhtiar tersebut dijangka memanfaatkan 22 juta rakyat melibatkan peruntukan RM2 bilion.
“Ini bermakna, jumlah peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion untuk 2025, dan ini merupakan kali pertama dalam sejarah bantuan tunai disalurkan kepada semua rakyat dewasa,” katanya.
Dalam pada itu katanya, jika ada dalam kalangan rakyat tidak membelanjakan bantuan itu pada akhir tahun ini, ia akan diagihkan semula untuk program bantuan golongan rentan tahun berikutnya.
Pemberian bantuan SARA diperluas ini merupakan sebahagian daripada inisiatif penghargaan luar biasa untuk rakyat yang dimaklumkan Perdana Menteri minggu lalu.
Inisiatif lain diumumkan termasuk pengisytiharan 15 September 2025 sebagai hari kelepasan am tambahan bersempena sambutan Hari Malaysia tahun ini.
Selain itu, peruntukan untuk Jualan Rahmah MADANI tahun ini ditingkatkan kepada RM600 juta melibatkan usaha menambah kekerapan dan memperluas jumlah lokasi diseluruh negara meliputi 600 dewan undangan negeri, selain memperbanyak jenis barangan yang ditawarkan.















Comments