top of page
  • Wartawan Nabalu News

Semua tadika swasta di negeri Fasa 1 dan 2 dibenar beroperasi - KPM



19 Sept 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjelaskan bahawa semua tadika swasta dan pusat perkembangan minda kanak-kanak bagi murid berumur empat hingga enam tahun di negeri Fasa 1 dan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) sudah dibenarkan beropersasi sejak Jumaat lalu.


KPM berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini, ekoran masih terdapat kekeliruan yang timbul terhadap pengoperasian premis berkenaan.


Pembukaan tadika swasta tersebut merangkumi semua tadika swasta, tadika di sekolah swasta, tadika di sekolah antarabangsa dan tadika di sekolah ekspatriat serta pusat perkembangan minda.


"Semua premis tersebut telah dibenarkan beroperasi mulai 17 September 2021 untuk anak-anak yang ibu bapa atau penjaga mereka bekerja.


“Bagaimanapun, pengoperasian ini tertakluk kepada kapasiti bilik darjah dengan penjarakan fizikal yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.


Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bahawa tabika, taska, tadika, pusat jagaan harian serta pusat perkembangan minda dibenarkan beroperasi di Fasa 1 dan Fasa 2 PPN.


Beliau berkata demikian semasa pengumuman kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) untuk beberapa sektor sosial, pendidikan dan rekreasi beroperasi.

bottom of page