Seorang Lagi Tahanan Masih Diburu
- nabalunews
- Jun 18
- 1 min read

18 Jun 2025
KOTA KINABALU: Seorang daripada dua lelaki yang melarikan diri dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, masih bebas dan gerakan mencari suspek giat dijalankan.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, pihaknya percaya suspek berusia 28 tahun itu masih bersembunyi di sekitar daerah ini.
Katanya, suspek yang dikenali sebagai Elvin Bin Salim berjaya melarikan diri bersama seorang lagi tahanan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu pada 14 Jun lalu.
“Berdasarkan maklumat keluarga, suspek dipercayai masih bersembunyi di daerah ini dan usaha memburunya sedang giat dijalankan.
“Bagaimanapun, seorang lagi suspek, Lan Bin Dais, 30, berjaya ditahan semula sehari selepas kejadian di kawasan hutan bukit berhampiran Telipok,” katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.
Sehubungan itu, SH Sitti Saleha menasihati suspek supaya menyerah diri untuk siasatan selanjutnya.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung suspek turut diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya.
Sementara itu, SH Sitti Saleha berkata, berdasarkan siasatan awal, kedua-dua suspek berjaya melarikan diri berikutan keadaan Depot yang sedang dalam proses menaiktaraf.
Katanya, kedua-dua suspek dipercayai mengalami kecederaan selepas memanjat pagar tinggi untuk terjun ke bahagian luar Depot.
“Bangunan Depot yang ada ketika ini masih di struktur lama dan memberi peluang kepada tahanan melarikan diri,” katanya.
Comments