Seorang maut, remaja parah dalam kemalangan di Lebuhraya Pan Borneo
3 September 2024
PAPAR: Seorang lelaki warga asing berusia 54 tahun maut manakala seorang remaja lelaki berusia 14 tahun cedera parah dalam satu kemalangan yang melibatkan dua motosikal di Lebuhraya Pan Borneo yang sedang dalam pembinaan dekat Kampung Andus, petang kelmarin.
Kemalangan yang berlaku sekitar jam 6.30 petang itu turut menyebabkan seorang pembonceng motosikal, lelaki berusia 57 tahun, mengalami cedera ringan.
Insiden tersebut berlaku apabila motosikal jenis Yamaha Lagenda yang dinaiki mangsa bertembung dengan sebuah motosikal jenis Honda C100 yang ditunggang oleh remaja tersebut.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka, memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati penunggang Yamaha Lagenda itu dalam perjalanan dari arah Kimanis menuju ke Andus bersama pemboncengnya ketika sebuah motosikal dari arah Benoni, yang dipercayai hilang kawalan, merempuh mereka.
“Akibat pertembungan itu, penunggang motosikal Yamaha Lagenda disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh penolong pegawai perubatan dari Hospital Papar,” ujar Kamaruddin, lapor Info X.
Remaja yang menunggang motosikal Honda C100 mengalami kecederaan parah, sementara pembonceng motosikal Yamaha Lagenda cedera ringan.
Kedua-dua mereka telah dikejarkan ke Hospital Papar untuk mendapatkan rawatan.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Papar untuk bedah siasat.
Kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Comments