SEPASANG SUAMI ISTERI TINGGAL SEHELAI SEPINGGANG
26 Jan 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
PENAMPANG: Sepasang suami isteri tinggal sehelai sepinggang selepas rumah kediaman mereka di Kampung Longkogungan Penampang, musnah dalam satu kebakaran pada Jumaat lalu.
Pasangan itu, Jalina Kumin, 37 dan suaminya Francis Langap, 43 dan anak lelaki mereka Elldin Jadder Francis (9 tahun) hanya menyedari kejadian tersebut apabila balik dari sawah padi pada 22 Jan.
Mereka percaya, kebakaran berpunca dari dapur kayu api yang terlalu panas sehingga api merebak sendiri walaupun api sudah dipadamkan sepenuhnya sebelum mereka meninggalkan rumah untuk ke sawah.
Kesemua harta benda dalam rumah terbakar termasuk kad pengenalan suami isteri, buku akaun bank, wang, telefon (kegunaan untuk anak mereka belajar online), pakaian, keperluan dapur, makanan dan semua kelengkapan dalam rumah.
Anak pasangan itu, Jadder yang bersekolah di SK Tiong Perungusan iaitu kampung halaman ibunya tidak dapat mengikuti pembelajaran secara online kerana telefon bimbit turut terbakar dalam kejadian itu.
Adik Jalina, Jhony Kumin yang menetap di Kampung Tiong Ratau Tamparuli berkata masalah talian telefon di Kg.Longkogungan menambah kesukaran penduduk kampung itu untuk memaklumkan pihak bomba mengenai kejadian itu ditambah pula telefon mangsa hangus dalam kebakaran.
"Kakak saya tidak dapat dihubungi sebab telefon bimbit mereka turut terbakar, kami hanya mengetahui kejadian ini daripada saudara abang ipar saya.
"Oleh itu saya bagi pihak kakak saya (Jalina dan keluarga) memohon sumbangan iklhas, apa sahaja jenis bantuan untuk meringankan bebanan mereka sekeluarga.
"Anak mereka (Jadder) bersekolah di SK Tiong Perungusan tetapi balik di rumah ibu bapanya di Kg.Longkogungan pada 26 Disember lalu," katanya kepada Nabalu News, di sini, hari ini.
Jhony berkata, dia akan mengambil Jadder dan menghantar sedikit bantuan makanan selepas mendapat surat kebenaran rentas daerah daripada Polis Tamparuli.
"Kereta tidak sampai di kampung mereka sebab tiada jalan raya, jadi saya terpaksa letak kereta di Gunung Emas dan berjalan kaki sejauh 14 kilometer selama enam jam untuk sampai di rumah mereka," katanya.
Sumbangan ikhlas boleh disalurkan kepada akaun adik mangsa iaitu saudara Jhony Kumin melalui akaun CIMB Bank (7052991804) ataupun menyampaikan terus ke rumah adik mangsa di Kampung Tiong Ratau.
Maklumat lanjut bagi mereka yang ingin menghulurkan sumbangan iklhas, hubungi Jhony di talian 01159002304.
Comentários