Sepilok Jazz Festival edisi ketiga oleh FOSTER tarik kehadiran lebih 1,500 pengunjung
- nabalunews
- Sep 9, 2024
- 2 min read

9 September 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
SANDAKAN : Sepilok Jazz Festival edisi ke-3 anjuran Friends Of Sea Turtles Education and Research (FOSTER) yang berlangsung selama dua hari di Rainforest Discovery Centre (RDC) Sandakan pada Jumaat dan Sabtu malam menarik kehadiran lebih 1,500 pengunjung dan peminat jazz dari dalam dan luar negara.
Festival itu juga diadakan untuk mengumpul dana bagi program pemuliharaan penyu yang dilaksanakan pihak FOSTER di Pulau Libaran.
Majlis perasmian acara itu telah disempurnakan Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee yang mengalu-alukan usaha FOSTER dalam membantu memulihara penyu.
Vivian juga melihat penganjuran Sepilok Jazz Festival sebagai satu usaha baik untuk memperkenalkan lagi Sandakan yang dikenali sebagai bandar alam semulajadi kepada pelancong domestik dan antarabangsa.
Majlis penutupan Sepilok Jazz Festival disempurnakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Mary Isidore Malangking yang mewakili Menterinya, Datuk Christina Liew.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung, Hakim Mahkamah Tinggi Sandakan, Yang Arif Saiful Azian Mokhtar, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah, Julinus Jeffrey Jimit, Ketua Konservator Hutan Sabah, Datuk Frederick Kugan dan Timbalannya (R&D), Dr. Arthur Chung, Presiden FOSTER, Alexander Yee dan Pengarah Muzik Sepilok Jazz Edisi Ke-3, Cheong Kok Ann.
Alexander merakam ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan Sepilok Jazz Festival dimana kali ini ia berlangsung di lokasi yang lebih besar dan juga menyajikan permandangan serta pengalaman menarik kepada pengunjung.
Sepilok Jazz Festival yang diacarakan oleh DJ Diddy itu menampilkan persembahan mantap dari artis dari dalam dan luar negara termasuk Trio Soulcutz (Australia), Mabel Air Jazz (Philippines), Tonal Alchemy (Penang, Malaysia), Le’Lucky (Sabah, Malaysia) selain pemenang Bakat Sepilok Jazz - Suave Swing and Trinity Jazz Band.
Comments